Am 29/11/2026 10:36 PM

Amy Hoo Cipta Sejarah, Wanita Pertama Asia Tenggara Bergelar Pizzaiolo Verace

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Amy Hoo Cipta Sejarah, Wanita Pertama Asia Tenggara Bergelar Pizzaiolo Verace
fb Associazione Verace Pizza Napoletana

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Anak kelahiran Kajang, Amy Hoo mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama di Asia Tenggara yang menerima pengiktirafan profesional Pizzaiolo Verace (pembuat piza tulen) daripada Associazione Verace Pizza Napoletana (AVPN) yang berpangkalan di Naples, Itali.

Pengiktirafan bertaraf antarabangsa itu disahkan oleh ibu pejabat AVPN di Itali, manakala nama Amy turut disenaraikan dalam direktori rasmi pembuat piza profesional persatuan berkenaan pada November ini.

Pizzeria Dihyang, restoran yang diasaskan bersama Amy dan mengkhusus dalam penyediaan piza Neapolitan tulen, dalam kenyataan menyifatkan pencapaian itu sebagai langkah penting dalam memperluas penglibatan wanita dalam seni pembuatan piza tradisional.

“Pengiktirafan Amy merupakan satu pencapaian penting bagi penglibatan wanita dalam bidang pembuatan piza tradisional yang secara sejarahnya sering dikaitkan dengan tukang mahir lelaki,” menurut kenyataan itu.

Pengiktirafan profesional Pizzaiolo Verace diberikan berdasarkan pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam seni pembuatan piza Neapolitan tradisional, termasuk penguasaan teknik serta pematuhan terhadap piawaian keaslian penyediaannya.

Pencapaian terbaharu itu menyusuli penglibatan Amy dalam beberapa program dan acara antarabangsa yang memperkukuh kepakarannya dalam seni pembuatan piza Neapolitan.

Pada 2023, Amy menjadi wanita Malaysia pertama yang mengikuti kursus profesional pembuatan piza di ibu pejabat AVPN di Naples.

Beliau turut mewakili AVPN pada pameran antarabangsa SIGEP di Singapura pada Julai lepas dengan mengadakan demonstrasi teknik pembuatan piza Neapolitan tulen sebelum menyertai Kejohanan Piza Dunia AVPN di Naples pada September lepas.

Seni pembuatan piza Neapolitan tradisional atau The Art of Neapolitan Pizzaiuolo mendapat pengiktirafan dunia apabila disenaraikan dalam Senarai Wakil Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2017.

AVPN yang ditubuhkan pada 1984 merupakan persatuan yang berperanan melindungi keaslian piza Neapolitan serta memelihara piawaian dan tradisi penyediaannya.

-- BERNAMA