KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff hari ini berangkat menziarahi keluarga seorang pelajar tingkatan tiga yang meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar pada 18 Nov lepas.
Dalam kunjungan itu, Raja Puan Muda Kedah yang juga Penaung DiRaja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) menzahirkan takziah selain memberikan sokongan moral kepada ibu bapa Allahyarham iaitu Mohd Idzwan Razali dan Siti Zamira Zolkopli serta ahli keluarga lain.
“Tuanku Raja Puan Muda Kedah turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman, di samping berharap agar seluruh ahli keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” menurut MMHA dalam kenyataan hari ini.
Selaras dengan peranan sebagai Penaung DiRaja MMHA, Raja Puan Muda Kedah turut menawarkan bantuan sokongan kaunseling dan psikologi menerusi persatuan tersebut bagi membantu keluarga Allahyarham menghadapi tempoh sukar ini.
Hadir sama dalam kunjungan berkenaan ialah Presiden MMHA Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj Chandrasekaran.
Pada 18 Nov lepas, seorang pelajar tingkatan tiga ditemukan tidak bernyawa di sebuah SBP di Kuala Kangsar.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
-- BERNAMA