IPOH, 29 Nov (Bernama) -- Sebanyak 20 inisiatif pembangunan dan kebajikan dilaksanakan di kawasan Parlimen Teluk Intan sejak 2022, merangkumi bidang pendidikan, perumahan, infrastruktur, keagamaan serta kesejahteraan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Woo Kah Leong berkata usaha berkenaan digerakkan dengan kerjasama Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming serta pelbagai agensi berkaitan.
Kesemua 20 inisiatif itu diperincikan menerusi kad laporan Ahli Parlimen Teluk Intan dan ADUN Pasir Bedamar untuk makluman serta rujukan masyarakat setempat.
“Usaha berkenaan bertujuan memastikan keperluan masyarakat setempat terus diberikan perhatian, selain merancakkan pembangunan kawasan sejak kedua-dua wakil rakyat tersebut diberikan mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 pada19 Nov 2022,” katanya.
Menurut kad laporan itu, dari aspek pembangunan infrastruktur, antara menjadi tumpuan ialah penambahbaikan kemudahan asas, pelaksanaan rancangan tebatan banjir, pembinaan balai bomba baharu dan kemudahan Hospital Teluk Intan.
Turut disenaraikan pembangunan perumahan serta usaha merancakkan pelancongan domestik bagi menarik pengunjung ke kawasan berkenaan.
Dalam aspek kebajikan dan ekonomi masyarakat, inisiatif yang dilaksanakan termasuk kerja baik pulih rumah daif dan penaiktarafan Kampung Bahagia.
Usaha membantu golongan memerlukan turut merangkumi Beg HARAPAN, program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah, skim bantuan keusahawanan, baucar teksi dan bantuan wang tunai.
Bidang pendidikan turut diutamakan menerusi bantuan pendidikan kepada pelajar, usaha meningkatkan kualiti pendidikan serta pengiktirafan terhadap kecemerlangan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Inisiatif lain termasuk pemakmuran masjid, penganjuran program Ramadan dan Aidilfitri serta hiasan perayaan di Menara Condong Teluk Intan.
-- BERNAMA