Dunia 29/11/2026 09:26 PM

Keselamatan Maritim Titik Permulaan Ideal Bagi Kerjasama Malaysia-Pakistan-Turkiye - IAIS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Keselamatan Maritim Titik Permulaan Ideal Bagi Kerjasama Malaysia-Pakistan-Turkiye - IAIS
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Panglima Angkatan Pertahanan merangkap Panglima Tentera Darat Pakistan, Fil Marsyal Syed Asim Munir, pada 23 Nov. -- Kredit foto: Facebook Syed Asim Munir

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Keselamatan maritim di Selat Melaka, laluan perkapalan penting bagi minyak dan gas, menawarkan titik permulaan paling praktikal bagi Malaysia untuk memajukan kerjasama tiga pihak dengan Pakistan dan Turkiye, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia Dr Ahmad Badri Abdullah.

Ahmad Badri berkata memandangkan kedua-dua rantau mempunyai kepentingan dalam memastikan laluan itu kekal terbuka, kerjasama berkenaan boleh dimulakan dengan operasi mencari dan menyelamat, latihan tindak balas kecemasan serta usaha memastikan pelabuhan komersial terus beroperasi ketika krisis.

“Operasi mencari dan menyelamat sudah pun terkandung dalam deklarasi kerjasama maritim ASEAN 2026.

“Kerjasama perindustrian boleh mengikut logik yang sama. Sektor elektronik dan aeroangkasa Malaysia menyediakan asas bagi kerjasama dalam pengujian, penyelenggaraan dan penyelidikan,” katanya dalam artikel pendapat bertajuk “Asim Munir’s Visit and Malaysia’s Place in an Emerging Muslim Security Order”.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Ketua Angkatan Pertahanan dan Panglima Tentera Darat Pakistan Fil Marsyal Syed Asim Munir pada 23 Nov.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata Malaysia dan Pakistan komited untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, termasuk menerusi kerjasama tiga pihak dengan Turkiye, serta meneroka peluang kerjasama dalam keselamatan maritim dan usaha membanteras keganasan.

Ahmad Badri berkata kepentingan rujukan Anwar kepada Turkiye dalam pertemuan dengan Syed Asim itu terletak pada pertindihan antara Perjanjian Pertahanan Bersama Makkah dan Memorandum Persefahaman (MoU) Badr, memandangkan kedua-dua negara itu merupakan anggota kedua-dua pengaturan berkenaan.

“Pakistan dan Turkiye merupakan satu-satunya negara penandatangan yang sama bagi kedua-dua pengaturan itu. Bekerjasama dengan kedua-dua negara itu dalam projek tertentu boleh memberikan Malaysia pengaruh yang lebih besar terhadap perkembangan hubungan keselamatan antara rantau Teluk dan Asia Tenggara,” katanya.

Mengenai pengajaran diplomatik yang boleh diambil daripada urusan Munir dengan Iran, beliau berkata Malaysia juga boleh memperdalam kerjasama dengan Pakistan dan Turkiye sambil memastikan salurannya sendiri kekal terbuka di seluruh rantau Teluk serta mendukung kecenderungan ASEAN terhadap keselamatan serantau yang inklusif.

Beliau berkata pakatan Makkah dan memorandum Doha memperlihatkan dua cara negara majoriti Muslim mengejar kepentingan keselamatan bersama, manakala sumbangan Malaysia adalah untuk menghubungkan usaha berkenaan dengan amalan yang telah lama wujud di Asia Tenggara dalam memastikan kerjasama serantau kekal terbuka kepada kumpulan rakan kongsi yang lebih luas.

“Projek keselamatan maritim yang praktikal akan memberikan Putrajaya peluang awal untuk menunjukkan hasil yang boleh dicapai menerusi pendekatan itu,” katanya.

-- BERNAMA