Am 29/11/2026 08:01 PM

Jawatankuasa Integriti FAM Perlu Laksana Tanggungjawab Secara Telus, Adil - Ayob Khan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jawatankuasa Integriti FAM Perlu Laksana Tanggungjawab Secara Telus, Adil - Ayob Khan
kredit: FB FAM

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan bahawa jawatankuasa itu perlu melaksanakan tanggungjawab secara telus dan adil bagi memelihara kredibiliti serta imej bola sepak negara.

Menerusi hantaran di Facebook FAM, Ayob Khan berkata setiap aspek berkaitan integriti perlu diberikan perhatian sewajarnya, selaras dengan peruntukan Statut FAM.

Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Integriti FAM bagi penggal 2025–2029 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

“Mesyuarat itu turut membincangkan penyelarasan hala tuju serta pelaksanaan tanggungjawab jawatankuasa berdasarkan Statut FAM, termasuk usaha memperkukuh integriti, pematuhan dan tadbir urus dalam pentadbiran bola sepak negara,” menurut hantaran itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ayob Khan itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi DCP Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, dua anggota jawatankuasa, iaitu Datuk Basri Othman dan DCP Mohd Mahidisham Ishak, serta Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman.

Sebelum mesyuarat bermula, Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan turut hadir untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada anggota baharu jawatankuasa serta merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa terdahulu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat atas khidmat dan sumbangan mereka.

-- BERNAMA