RANAU, 29 Nov (Bernama) -- Projek pembinaan talian penghantaran elektrik Sabah Southern MADANI Link (SSML) Fasa 1A yang menghubungkan Sipitang dan Tenom sepanjang 60 kilometer (km) mencatatkan kemajuan lebih 30 peratus setakat bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata pembinaan SSML merupakan perancangan jangka panjang untuk melengkapkan rangkaian grid utama 275 kilovolt (kV) yang menghubungkan Sipitang sehingga Tawau.
Beliau berkata talian itu penting bagi menyediakan laluan alternatif penyaluran bekalan elektrik ke pantai timur, selain satu-satunya talian iaitu East West Link ketika ini, sekiranya berlaku gangguan atau insiden terhadap rangkaian sedia ada.
"Jika kita berjaya menyiapkan talian kedua ini dari Sipitang ke Tawau, rangkaian grid utama 275 kV akan dapat dilengkapkan.
"Sekiranya berlaku lagi insiden bekalan elektrik terputus kita mempunyai alternatif untuk menyalurkan bekalan elektrik ke pantai timur," katanya kepada pemberita di tapak Menara T313 di sini hari ini.
Bernama dalam laporan eksklusif hari ini melaporkan kepentingan SSML dalam mengatasi isu kerentanan sistem grid Sabah yang bergantung pada hanya satu talian penghantaran, yang terputus akibat insiden menara T313 di Ranau tumbang Khamis lepas.
Pada Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan SSML di Sipitang.
Mohd Yaakob berkata keseluruhan projek SSML sepanjang kira-kira 330 km itu memerlukan sokongan dana dan peruntukan bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan mengikut perancangan.
Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada September 2028, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem rangkaian grid elektrik utama Sabah, khususnya bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di pantai timur negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk menyegerakan peruntukan RM1.4 bilion bagi SSML Fasa 1B bagi membolehkan pembinaan talian berkenaan diteruskan.
“Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri penting bagi merealisasikan projek strategik itu demi meningkatkan keupayaan serta kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik Sabah,” katanya.
-- BERNAMA