Am 29/11/2026 07:02 PM

Arus Deras, Kawasan Berbukit Jadi Cabaran Petugas Sabah Electricity Bina ERS Di Ranau

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Arus Deras, Kawasan Berbukit Jadi Cabaran Petugas Sabah Electricity Bina ERS Di Ranau
Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Ir Mohd Riza Zalmee Mohd Ghazali (kanan) berbincang dengan kakitangan ketika meninjau pembinaan menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) berhampiran runtuhan menara T313 semalam.

RANAU, 29 Nov (Bernama) -- Pasukan di lapangan berdepan dua cabaran utama dalam usaha membina menara sementara Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) di sini bagi memulihkan talian penghantaran elektrik 275 kilovolt (kV) ke Pantai Timur Sabah.

Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Mohd Riza Zalmee Mohd Ghazali berkata cabaran pertama melibatkan kerja mengangkat talian merentasi sungai berarus deras yang dilakukan dengan bantuan pihak bomba, manakala cabaran kedua melibatkan bentuk muka bumi berbukit.

"Bagi kawasan yang agak berbukit, kami perlu menebang atau mencari laluan bagi membolehkan anggota kerja mengakses jalan tersebut dan menarik talian kedua untuk sampai ke menara ERS," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setakat semalam fasa pertama pembinaan menara sementara ERS yang melibatkan kerja penaikan struktur menara telah selesai dilaksanakan, bagaimanapun pasukan teknikal masih meneruskan kerja pemasangan kabel penahan.

Mohd Riza Zalmee berkata pembinaan menara sementara ERS terbahagi kepada dua fasa keseluruhan, dengan fasa kedua sedang dilaksanakan hari ini memberi tumpuan kepada kerja menarik talian penghantaran.

“Fasa kedua itu melibatkan kerja menarik dua talian ke menara ERS, iaitu satu talian dari seberang “ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata pihaknya bersama kontraktor berjaya melaksanakan kerja memasang tiga kabel konduktor ke menara sementara ERS setakat 12 tengah hari ini.

Beliau berkata pasukan teknikal kini giat menarik konduktor kabel dari menara T313 yang tumbang ke menara ERS, selain menjalankan kerja menarik kabel dari menara T314 juga ke menara ERS itu.

"Sasaran kita pada hari ini adalah untuk melengkapkan tiga kabel bagi litar pertama," katanya.

Menara penghantaran elektrik T313 terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Jalan Ranau-Telupid tumbang berpunca daripada hakisan akibat hujan berterusan dan arus deras Sungai Liwagu.

Kejadian itu menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar dengan Sabah Electricity menyasarkan memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis ini atau lebih awal.

-- BERNAMA