TANJONG MALIM, 29 Nov (Bernama) -- Projek tanaman cendawan tiram kelabu di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) berpotensi menjana pendapatan kasar hingga RM100,000 bagi setiap kitaran pengeluaran, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Abdul Khudus Mohd Naaim berkata pelaksanaan program menerusi Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) itu memberikan manfaat kepada 22 peserta, melibatkan 15 lelaki dan tujuh wanita, hasil kerjasama dengan Jawatankuasa Masjid Al-Ikhwan, Taman Bernam Baru, di sini.
“Projek ini bukan sekadar menyediakan peluang menjana pendapatan, tetapi turut membina keupayaan komuniti untuk berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan.
“Kita mahu menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat menerusi aktiviti yang mampu memberikan manfaat berterusan kepada komuniti,” katanya.
Terdahulu, majlis perasmian Projek PPKY Tanaman Cendawan Tiram Kelabu di Masjid Al-Ikhwan itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Abdul Khudus berkata projek itu menyasarkan 50,000 beg cendawan bagi setiap kitaran, dan setiap beg mampu menghasilkan purata 200 gram cendawan segar dengan pengeluaran dijangka mencecah 10,000 kilogram dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
“Berdasarkan anggaran harga pasaran RM10 sekilogram, projek ini berpotensi menjana pendapatan kasar RM100,000 bagi setiap kitaran, dengan margin keuntungan bersih diunjurkan antara 30 hingga 40 peratus,” katanya.
Beliau menambah projek itu dijangka menjana jualan RM8,000 sebulan, dengan 60 peratus disalurkan kepada masjid bagi kos operasi dan baki 40 peratus diagihkan kepada empat peserta teras sebagai pendapatan tambahan.
Pada majlis itu, YAPEIM turut menyalurkan sumbangan bakul makanan bernilai RM100 setiap satu kepada 36 keluarga yang memerlukan membabitkan peruntukan keseluruhan RM3,600.
“Sejak 1985 hingga September 2026, YAPEIM telah mengagihkan RM770 juta kepada 10.7 juta penerima manfaat di seluruh negara menerusi tiga teras utama, iaitu pembangunan ekonomi dan keusahawanan, bantuan pendidikan serta bantuan kemasyarakatan,” katanya.
-- BERNAMA