Dunia 29/11/2026 04:20 PM

Penyelesaian Dua Negara Satu-satunya Jalan Mencapai Keamanan - Guterres

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penyelesaian Dua Negara Satu-satunya Jalan Mencapai Keamanan - Guterres
Nov. 16, 2026.(AP Photo/Firdia Linsawati, Pool)

NEW YORK, 29 Nov (Bernama-dpa) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad mengulangi gesaannya supaya penyelesaian dua negara dilaksanakan di Asia Barat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai keamanan di Asia Barat ialah penyelesaian dua negara,” kata Guterres menerusi hantaran di platform X.

Kenyataan itu dibuat bersempena dengan sambutan Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin oleh PBB.

“Rakyat Palestin berhak untuk hidup bermaruah, mendapat keadilan dan menentukan nasib sendiri,” kata Guterres.

Beliau berkata PBB tidak akan berganjak daripada komitmennya terhadap satu-satunya jalan yang berdaya maju, iaitu penyelesaian dua negara dengan Israel dan Palestin sebagai dua negara merdeka, berdaulat dan demokratik yang hidup berjiran dalam suasana aman dan selamat.

Keadaan di Tebing Barat juga semakin meruncing sejak 7 Okt 2023 dan perang di Gaza yang menyusul.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 1,100 rakyat Palestin terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel, pertempuran bersenjata dan serangan sejak itu.

Keganasan oleh pendatang haram Israel yang radikal terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka juga meningkat dengan ketara.

-- BERNAMA-dpa