Am 29/11/2026 02:01 PM

Projek LTB Seksyen Miri Dijangka Siap Oktober 2029 - Nanta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Projek LTB Seksyen Miri Dijangka Siap Oktober 2029 - Nanta
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MIRI, 29 Nov (Bernama) -- Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) Seksyen Miri yang melibatkan kos kontrak RM136.1 juta dan dijangka siap pada Oktober 2029, bakal meningkatkan kapasiti jalan dari persimpangan Kuala Baram ke Kompleks Imigresen dan Kastam (CIQ) Sungai Tujuh.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek itu melibatkan kerja menaik taraf jalan sejauh 4.951 kilometer (km), meliputi 4.151 km di Seksyen I dan 0.8 km di Seksyen II.

“Jalan tunggal dua lorong itu akan dinaik taraf menjadi jalan berkembar empat lorong dua hala.

“Skop projek ini melibatkan penambahbaikan bulatan sedia ada sebelum CIQ Sungai Tujuh dengan reka bentuk baharu bulatan yang efisien akan memenuhi keperluan jalan raya berkembar spesifikasi R5 serta dijangka melancarkan aliran trafik dengan lebih baik ke pintu masuk sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek LTB (Seksyen Miri) dan Projek Redline Short Stretch Miri di sini hari ini.

Nanta berkata Projek LTB meliputi tiga seksyen utama iaitu Miri, Limbang dan Lawas yang melibatkan jajaran sejauh 93.25 km bagi melengkapi Lebuhraya Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).

Katanya, bagi Seksyen Limbang dan Seksyen Lawas, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah selesai menilai tender dan hasil penilaian akan dikemukakan kepada Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya untuk pengesyoran sebelum dirujuk kepada Kementerian Kewangan bagi kelulusan.

Beliau berkata Surat Setuju Terima bagi dua seksyen terbabit dijangka dikeluarkan pada suku pertama 2027 dengan tempoh pembinaan bagi setiap seksyen ialah tiga tahun.

Sementara itu, bagi projek Redline Short Stretch, kerja naik taraf jalan melibatkan sembilan lokasi di Sarawak dengan jarak keseluruhan 17.1 km termasuk Seksyen Tudan di laluan Miri-Kuala Baram.

Nanta berkata projek berkenaan diluluskan melalui kontrak bernilai RM119.7 juta, manakala kerja menaik taraf Seksyen Tudan dijadualkan siap pada Januari 2028.

“Apabila kedua-dua projek ini siap, perjalanan dari selatan dan tengah Sarawak ke Miri serta dari Miri ke pintu masuk sempadan dijangka lebih lancar. Kerja naik taraf jalan dan persimpangan di laluan ke CIQ Sungai Tujuh juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak.

“Dengan laluan yang lebih lancar, barangan dapat dihantar dengan lebih mudah antara Miri dengan Brunei Darussalam. Keadaan ini dapat merancakkan sektor pelancongan dan perdagangan rentas sempadan, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha hotel, pengendali pelancongan serta peniaga kecil dan sederhana di Miri,” katanya.

-- BERNAMA