SEREMBAN, 29 Nov (Bernama) -- Memperluas akses golongan kurang berkemampuan kepada lesen memandu serta meningkatkan keselamatan penunggang motosikal antara fokus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Program Yakin MADANI Negeri Sembilan.
Antara mendapat perhatian pengunjung ialah Program MyLesen B2 yang menawarkan peluang kepada golongan B40 mendapatkan lesen motosikal selain program pertukaran topi keledar lama kepada baharu, dengan kedua-duanya dilaksanakan secara percuma.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata inisiatif itu mencerminkan usaha kerajaan mendekati rakyat menerusi penyediaan kemudahan yang memberikan manfaat secara langsung, khususnya kepada kumpulan memerlukan.
Beliau berkata sebanyak 900 pemohon mendaftar untuk menyertai Program MyLesen pada tahun hadapan dari hari pertama pendaftaran dibuka di negeri ini sempena pelaksanaan Program Yakin MADANI tersebut.
“Pada peringkat JPJ, kita membuat saringan mengikut kesesuaian dan kelayakan mereka untuk menyertai program ini dan jika layak, surat tawaran akan dikeluarkan.
“Ini kerana program diberikan secara percuma kepada orang awam yang layak dan melepasi tapisan dengan fokus kita kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada Bernama pada program itu di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini.
Aedy Fadly berkata kuota penyertaan bagi tahun hadapan belum dimuktamadkan kerana bergantung kepada peruntukan diluluskan kerajaan.
Secara keseluruhan, beliau berkata JPJ menawarkan 90,000 kuota MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah di seluruh negara pada tahun ini dengan kesemuanya selesai dilaksanakan.
Sementara itu, sebanyak 3,000 topi keledar diperuntukkan bagi program pertukaran topi keledar percuma sepanjang dua hari penganjuran Program Yakin MADANI tersebut, dengan sebanyak 1,500 diagihkan setiap hari.
Selain itu, JPJ menyediakan kemudahan semakan dan pembelian nombor pendaftaran kenderaan yang masih berbaki dengan harga bermula RM300 mengikut kategori nombor.
Sementara itu, pengunjung Khairul Izwan, 24, berkata inisiatif pertukaran topi keledar itu amat membantu orang ramai, khususnya golongan muda yang mungkin menangguhkan pembelian topi keledar baharu disebabkan kekangan kewangan.
-- BERNAMA