Am 29/11/2026 01:31 PM

Kerajaan Teliti Mekanisme Bantuan Banjir Libatkan Institusi Pondok, Tahfiz Termasuk Tidak Berdaftar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan Teliti Mekanisme Bantuan Banjir Libatkan Institusi Pondok, Tahfiz Termasuk Tidak Berdaftar
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Sama' Hadis Riyadus Solihin dan Ijtimak Pondok Nusantara di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

KUALA NERUS, 29 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti mekanisme khusus bagi menyalurkan bantuan kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz yang terjejas akibat banjir, termasuk institusi pendidikan agama yang tidak berdaftar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan institusi pendidikan berkenaan, khususnya di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan daripada menerima bantuan kerajaan.

 Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi kementerian berkenaan esok, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana pada peringkat negeri dan daerah juga telah diminta memberikan perhatian kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz yang terjejas banjir kerana pelajar, guru serta institusi berkenaan turut memerlukan bantuan dan perlindungan.

"Walaupun bantuan wang ihsan diberikan kepada setiap keluarga yang menjadi mangsa banjir ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS), kita juga perlu memikirkan nasib pelajar dan institusi pendidikan berkenaan.

"Justeru, satu mekanisme baharu perlu dikenal pasti bagi membantu pelajar, guru dan institusi terbabit melalui pelbagai bentuk bantuan, khususnya Bantuan Wang Ihsan," katanya selepas merasmikan majlis Sama’ Hadis Riyadus Solihin bersama Sheikh Dr Ali Muhyeldin Al Qaradaghi dan Ijtimak Pondok Nusantara di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kira-kira 2,300 institusi pondok berdaftar direkodkan setakat ini, manakala jumlah institusi yang tidak berdaftar dianggarkan 2,500.

Beliau berkata status pendaftaran tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membantu institusi berkenaan yang turut menjadi mangsa banjir.

"Walaupun tidak berdaftar, kita tidak boleh membiarkan mereka tanpa bantuan. Kita perlu mencari jalan untuk membantu mereka …," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata mekanisme pelaksanaan serta kadar bantuan yang akan disalurkan masih belum dimuktamadkan dan perlu dibincangkan terlebih dahulu.

-- BERNAMA