SIBU, 29 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mencari langkah menurunkan harga jualan daging di Sarawak yang didapati agak mahal berbanding di Semenanjung.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tinjauan mendapati harga sayur-sayuran di negeri ini secara umumnya sederhana, malah ada yang lebih rendah berbanding di Semenanjung, namun harga ayam, telur dan daging masih agak tinggi.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata perbincangan akan diadakan bersama-sama FAMA dan kerajaan negeri bagi mengenal pasti pendekatan bersesuaian untuk menangani isu berkenaan.
“Insya-Allah kita bersama-sama FAMA dan kerajaan negeri akan berusaha mencari ikhtiar … untuk mengurangkan harga pada masa yang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Jualan Agro MADANI di Pasar Sentral Sibu, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi FAMA Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Ketua Pengarah FAMA Faisal Iswardi Ismail.
Dalam pada itu, Mohamad berkata lawatannya ke Sibu hari ini tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak, memandangkan program berkenaan telah ditangguhkan beberapa kali sebelum ini, selain mengambil kira tempoh penghujung tahun.
Mengulas pelaksanaan Jualan Agro MADANI, beliau berkata program itu menawarkan barangan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga biasa bagi membantu meringankan beban golongan B40 serta penjawat awam negeri dan Persekutuan di daerah Sibu.
Bagaimanapun, beliau berkata program berkenaan tidak dapat diadakan setiap hari di lokasi sama bagi mengelakkan persaingan yang boleh menjejaskan jualan peniaga lain.
Mohamad berkata setakat ini sebanyak 4,436 daripada sasaran 5,000 program telah dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan melebihi RM79 juta.
Pelaksanaan itu turut melibatkan penyertaan lebih 54,000 usahawan dan menarik lebih 4.6 juta pengunjung, sekali gus memberikan penjimatan kira-kira RM25 juta kepada pengguna.
-- BERNAMA