Am 29/11/2026 12:39 PM

Ujian MySiren Tarik Perhatian Orang Ramai, Bantu Cepat Bertindak

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ujian MySiren Tarik Perhatian Orang Ramai, Bantu Cepat Bertindak

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Orang ramai yang menerima notifikasi kecemasan menerusi ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) pagi ini menyifatkan inisiatif itu amat membantu mereka untuk bertindak dengan lebih pantas.

Ujian MySiren dilaksanakan serentak di seluruh negara dari 10.10 hingga 10.30 pagi ini bagi menguji keupayaan sistem menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna.

Di KEDAH, Zahariah Abd Hamid, 45, yang tinggal berhampiran Titi Hayun, Yan berkata sistem itu dapat mengurangkan kegusaran penduduk yang pernah berhadapan banjir besar akibat kepala air pada 2021.

“Pada 2021, kami terkejut dengan kejadian itu yang berlaku tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Dengan MySiren, ia dapat memberikan amaran awal supaya penduduk dapat menyelamatkan diri dan harta benda,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Syahir Ibrahim, 27, dari Taman Impian, Alor Setar berkata amaran secara serentak semasa dirinya sedang beriadah dengan rakan mengejutkan, namun berjaya menarik perhatian mereka untuk memeriksa telefon bimbit masing-masing. 

Di SELANGOR, pekerja pembersihan Kamsiah Mat Ali, 59, berkata MySiren mampu memberi peringatan dan makluman kepada orang ramai mengenai risiko berlaku bencana menerusi siren yang kuat dan jelas.

“Sebelum ini, jika berlaku banjir, kita biasa menerima makluman melalui teks pesanan ringkas. Penggunaan siren menjadi sesuatu yang baharu kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Aisyah Halim, 20, berkata inisiatif kerajaan melaksanakan sistem amaran itu langkah positif dalam memastikan orang ramai mendapat maklumat awal mengenai risiko bencana.

Bagaimanapun, Aisyah berharap kerajaan dapat memperincikan tahap atau kategori bencana yang mengaktifkan siren itu dan menyediakan panduan tindakan perlu diambil orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan serta situasi panik, khususnya kepada mereka yang pertama kali menerima amaran tersebut.

Di PAHANG, Pengerusi Persatuan Penduduk Impian Bestari, Kuantan Yuslizar Razali berkata amaran itu dapat membantu penduduk bertindak lebih pantas termasuk jika banjir berlaku ketika mereka sedang tidur berikutan kawasan kediaman tersebut kerap dilanda bencana itu.

-- BERNAMA