Ekonomi 29/11/2026 11:04 AM

Kerajaan MADANI Kekal Tegas Utamakan Kesejahteraan Rakyat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kerajaan MADANI Kekal Tegas Utamakan Kesejahteraan Rakyat

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Kemampuan atau perbelanjaan penggunaan sebagaimana dibuktikan menerusi pola perbelanjaan kalangan rakyat Malaysia, jelas kekal rancak dan meningkat pada suku ketiga tahun ini.

Perkembangan itu juga menjadi antara indikator atau penunjuk ekonomi dan paparan kejayaan objektif Kerajaan MADANI dalam memastikan lebih banyak dapat disalurkan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Pelbagai dasar dan program kerajaan selain inisiatif bantuan kewangan, juga dapat melindungi rakyat daripada impak buruk yang ketara susulan lonjakan harga minyak serta situasi luar negara yang sukar dijangka.

Apa yang jelas, tiga belanjawan di bawah Kerajaan MADANI selain pelbagai program bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, dapat disifatkan sebagai mesra rakyat dan disasarkan demi membantu masyarakat.

Ketika pentadbiran itu kini genap empat tahun, Kerajaan MADANI telah mencatat pencapaian berikutan kejayaan menterjemahkan dasar kepada program-program praktikal bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat meskipun terpaksa berdepan cabaran besar, terutama peningkatan kos sara hidup akibat kenaikan harga import minyak dan makanan.

Malangnya, lontaran retorik negatif dan sentimen politik oleh pihak lawan, termasuk menerusi penggunaan media sosial, sedikit sebanyak “mengaburi” pelbagai realiti manfaat yang diketengahkan Kerajaan MADANI untuk rakyat negara ini.

 

Ringankan beban

Dari segi meringankan beban, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai program bantuan di peringkat nasional serta meningkatkan pemberian subsidi bersasar demi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga barangan.

Pelaksanaan program bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melengkapi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi membantu golongan B40 mendapatkan barangan keperluan asas, juga telah menyumbang kepada usaha meredakan tekanan kos sara hidup.

Sejajar dengan pendekatan mengutamakan kebajikan rakyat, pelbagai program bantuan kewangan terbabit telah meningkatkan perbelanjaan subsidi Kerajaan MADANI sebanyak 322 peratus kepada RM55.4 bilion berbanding 2021 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Walaupun diasak cabaran luaran, pentadbiran Kerajaan MADANI terus menggalas tanggungjawab besar untuk berusaha meringankan beban susulan lonjakan harga barangan yang membebankan rakyat.

Kesukaran itu susulan peningkatan kos import akibat gabungan beberapa faktor, termasuk kenaikan tarif, harga minyak serta kos penghantaran dan pengangkutan susulan sekatan di Selat Hormuz akibat krisis Asia Barat.

Di sebalik tekanan itu, Kerajaan MADANI menanggung beban subsidi yang besar, terutama bagi barangan keperluan seperti petrol dan diesel, sekali gus membolehkan sebahagian besar rakyat Malaysia menikmati harga bahan api yang lebih rendah.

Ini hanya mewujudkan keadaan lebih baik berbanding kebanyakan negara lain yang mengalami masalah kekurangan bahan api sehinggakan ada rakyatnya yang terpaksa berbaris panjang di stesen-stesen minyak.

Situasi sedemikian tidak berlaku di Malaysia -- hasil daripada tindak-tanduk atau keputusan ekonomi berpandangan jauh dan pragmatik oleh penggubal dasar. Walaupun berstatus negara pengimport bersih minyak mentah, kerajaan telah memastikan bekalan bahan api negara kekal terjamin.

Sebahagian besar daripada masyarakat pengguna kenderaan di negara terus menikmati harga bahan api bersubsidi menerusi pelaksanaan program subsidi bersasar Budi MADANI (BUDI95 dan BUDI Diesel), malah mungkin ada yang menyedari beban subsidi ditanggung kerajaan di tengah-tengah lonjakan harga minyak mentah dunia yang melebihi US$100 setong.

 

Mengurus pertumbuhan ekonomi 

Dalam melaksanakan usaha berterusan menjaga kebajikan rakyat menerusi langkah meningkatkan perbelanjaan bantuan kewangan, kerajaan juga dapat menguruskan pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih baik.

Malaysia masih terus menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk mereka yang rajin, berdaya usaha serta sanggup memanfaatkan pelbagai peluang serta dalam persekitaran serba baik yang terbentang di negara ini.

Justeru, Malaysia terbukti mencatat prestasi memberangsangkan dalam mengekalkan pertumbuhan walaupun dalam persekitaran harga minyak mentah yang tinggi selain tarif tinggi dikenakan Amerika Syarikat terhadap banyak negara.

Ekonomi Malaysia tumbuh 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, sekali gus dapat meletakkan Malaysia pada kedudukan baik untuk mencatatkan pertumbuhan keseluruhan dalam julat 4.4 hingga 5.0 peratus pada tahun ini -- satu pencapaian yang amat memberangsangkan.

Bercanggah dengan kecaman pihak yang berpendapat sebaliknya, prestasi ekonomi Malaysia sejak empat tahun lepas hanya membuktikan pencapaian Kerajaan MADANI, terutama dalam mengharungi ketidaktentuan serta keadaan goyah di pasaran antarabangsa.

Perancangan ekonomi yang dirangka rapi adakalanya boleh terjejas akibat pelbagai cabaran, khususnya faktor luaran seperti tarif dikenakan AS yang memberi kesan ketara sejak kira-kira dua tahun ini.

 

Permintaan domestik berdaya tahan  

Realiti permintaan domestik yang berdaya tahan, kekukuhan aktiviti sektor perkhidmatan serta eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus menjadi pemacu kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini jelas menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan pertumbuhan positif meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Sebagai sebuah ekonomi berorientasikan eksport, Malaysia ternyata memaparkan prestasi baik dengan mengambik kira nilai eksport yang mencecah RM215.1 bilion pada September 2026.

Lebih bermakna, kedudukan Malaysia dalam ranking daya saing global juga melonjak daripada tangga ke-34 pada 2024 ke tangga ke-23 pada 2025 dan seterusnya di kedudukan ke-15 pada 2026 mengikut IMD World Competitiveness Ranking.

Di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai sebuah negara maju dengan ekonomi berdaya saing, inklusif dan mampan. Negara kini pada landasan yang tepat untuk mencapai matlamat tersebut.

Kadar pengangguran sebanyak 2.9 peratus -- paras terendah dalam tempoh 11 tahun, juga bukan penghalang kerajaan daripada terus mengadakan pelbagai karnival kerjaya, pameran pekerjaan serta siri jelajah bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Tidak dinafikan, pentadbiran di bawah pimpinan Anwar telah mewujudkan persekitaran penggubalan dasar yang kondusif, menyokong pertumbuhan ekonomi dan melonjakkan lagi tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing.

Setakat ini misalnya, sebanyak 117 projek pusat data telah diluluskan yang mana 55 daripadanya telah mula beroperasi.

Kemampuan Malaysia untuk muncul antara pasaran pusat data yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara, juga hanya membuktikan kejayaan dasar ekonomi Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA