Am 29/11/2026 12:22 AM

Dua Perhimpunan Serentak Di Ibu Negara Berlangsung Aman - Polis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Perhimpunan Serentak Di Ibu Negara Berlangsung Aman - Polis

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Dua perhimpunan yang berlangsung serentak di ibu negara petang tadi berakhir dengan aman dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata kedua-dua perhimpunan itu ialah Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 di hadapan Kompleks SOGO dan Himpunan Daulat Tuanku di hadapan sebuah premis tekstil di Jalan Tuanku Abdul Rahman, yang berlangsung antara 1 tengah hari hingga 4.30 petang.

Beliau berkata peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 mula berarak dari hadapan SOGO menuju ke Dataran Merdeka pada 2.30 petang sebelum bertembung dengan kumpulan yang menyertai Himpunan Daulat Tuanku antara 3.10 petang hingga 3.20 petang.

"Semasa pertembungan kedua-dua kumpulan keadaan dilihat agak tegang, namun berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui tindakan kawalan keselamatan yang sewajarnya. Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kumpulan yang menyertai Himpunan Daulat Tuanku bersurai pada 3.50 petang manakala peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 menamatkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 4.30 petang.

Ahmad Azwan berkata jumlah keseluruhan peserta bagi kedua-dua perhimpunan itu dianggarkan 140 orang, masing-masing 60 di hadapan SOGO dan 80 di hadapan premis tekstil, dengan 16 wakil peserta menyampaikan ucapan sepanjang perhimpunan berlangsung.

Beliau berkata seramai 129 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi serta bantuan KL Strike Force ditugaskan menerusi Op Aman bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran kedua-dua perhimpunan itu. 

-- BERNAMA