SUNGAI PETANI, 28 Nov (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di KM 82.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata mangsa Noria Anak Rengit, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami, manakala suaminya Henry Gregory Anak Lassi, 47, yang bertugas sebagai anggota polis trafik di Selangor cedera pada tangan dan kaki.
Beliau berkata siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha XMAX dinaiki pasangan itu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan lain dari arah sama sebelum terbabas ke kiri jalan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hanyan berkata anggota polis berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan, manakala mayat isterinya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Shah (HSAH) untuk tindakan lanjut.
Beliau turut meminta pengguna jalan raya yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka supaya tampil ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA