Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar
KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Kemenangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukan sekadar memberikan kelebihan angka kepada gabungan itu, malah turut memperkukuh trajektori politik Sarawak ke arah persaingan yang semakin berpusat pada kepentingan dan agenda kenegerian.
Dengan lebih satu pertiga daripada keseluruhan 82 kerusi DUN sudah dimenangi, GPS hanya memerlukan 13 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah sekali gus membolehkan gabungan itu menumpukan sumber dan kekuatan jentera pilihan rayanya kepada baki 53 kawasan yang dipertandingkan.
Penganalisis politik Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata kemenangan tanpa bertanding dalam jumlah besar boleh mencerminkan tiga faktor utama yang membentuk landskap politik Sarawak, iaitu kekuatan organisasi GPS, keterbatasan pembangkang dalam menawarkan alternatif politik serta percaturan strategik parti nasional.
Dalam konteks yang lebih luas, beliau melihat fenomena itu sebagai kesinambungan proses penyerantauan politik Sarawak, iaitu peralihan ke arah landskap politik yang semakin didominasi oleh parti tempatan dengan kepentingan negeri menjadi teras persaingan.
“Tuntutan autonomi, pelaksanaan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), identiti kenegerian dan agenda pembangunan berteraskan kepentingan Sarawak merupakan faktor struktural yang mendasarinya. Ketiadaan beberapa parti nasional (bertanding) pula merupakan faktor yang mengikut keadaan (situational) yang mempercepat proses tersebut,” kata pakar dari Universiti Malaya itu kepada Bernama.
Selain mengekalkan kesinambungan kepimpinan, GPS turut berusaha mengurus peralihan generasi menerusi pencalonan 11 muka baharu dalam senarai 82 calonnya pada PRN kali ini.
Seiring barisan kepimpinan tertinggi yang terdiri daripada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dua Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, empat muka baharu GPS turut menang tanpa bertanding, iaitu Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, Yussuf Chik, Awang Nashfarini Awang Sarbini dan Nurfatin Syafawani Tahamat.
Dari sudut representasi wanita, kesemua lima calon wanita GPS, termasuk dua muka baharu, berjaya memperoleh kerusi DUN tanpa bertanding, meskipun jumlah keseluruhan calon wanita merosot 68.2 peratus daripada 44 orang pada 2021 kepada 14 kali ini.
Pada peringkat Persekutuan, penguasaan politik GPS di Sarawak berpotensi memperkukuh kedudukan strategik gabungan itu dalam rundingan berkaitan MA63, autonomi fiskal, hak terhadap sumber asli serta peruntukan pembangunan.
Bagaimanapun, Awang Azman berpandangan penguasaan DUN tidak secara automatik menjamin pertambahan kerusi Parlimen atau peningkatan kuasa tawar-menawar GPS, yang tetap bergantung pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan konfigurasi politik nasional ketika itu.
Beliau turut menarik perhatian kepada perbezaan antara penguasaan politik dengan tahap sokongan sebenar rakyat, memandangkan kemenangan tanpa pencabar bukanlah ukuran sebenar sokongan pengundi sebagaimana keputusan yang diperoleh menerusi peti undi.
Menurutnya, apabila kuasa politik semakin tertumpu pada satu gabungan, mekanisme akauntabiliti melalui institusi DUN, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam, media, masyarakat sivil serta peranan konstruktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan sendiri menjadi semakin penting.
“Ketiadaan pencabar merupakan petunjuk penguasaan ruang politik tetapi tidak semestinya bermakna ketiadaan pandangan kritis atau ketidakpuasan hati dalam masyarakat.
“Kekuatan sesebuah kerajaan bukan sahaja terletak pada kemampuannya menguasai kerusi, tetapi juga pada kesediaannya menerima kritikan, melaksanakan semak dan imbang serta mempertanggungjawabkan kuasa kepada rakyat,” katanya.
Awang Azman turut membangkitkan kemungkinan berlakunya fenomena political demobilisation atau kemerosotan motivasi pengundi untuk mengambil bahagian dalam proses politik terutama apabila kemenangan tanpa bertanding dalam jumlah besar menimbulkan persepsi bahawa keputusan keseluruhan pilihan raya sudah dapat dijangkakan.
Senada dengan pandangan itu, Felo Penyelidik IDE Research Centre (IDERC) Ahmad Farhan Rosli dalam temu bual bersama Bernama menjelang hari penamaan calon turut menyuarakan kebimbangan bahawa persepsi sedemikian boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi.
Menurutnya, komposisi pengundi muda serta tarikh pengundian yang menghampiri musim cuti juga boleh mempengaruhi keputusan pengundi, khususnya mereka yang berada di luar Sarawak, untuk pulang mengundi.
“Rakyat dah tahu siapa menang, rakyat tak nak keluar mengundi. Yang akan menjadi masalah nanti kepada parti GPS adalah adakah mereka ini disokong oleh majoriti rakyat?” katanya ketika mengulas kemungkinan timbulnya persepsi bahawa keputusan pilihan raya sudah diketahui.
Namun, dengan GPS masih memerlukan 13 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah, pengundian di baki 53 kawasan DUN pada 12 Dis ini kekal penting dalam menentukan bukan sahaja pembentukan kerajaan negeri dan keluasan mandat GPS, tetapi juga corak landskap politik Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.
PRN Sarawak ke-13 mempertaruhkan 82 kerusi DUN dan melibatkan 2,058,781 pemilih berdaftar di seluruh negeri, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 Dis sebagai hari pengundian awal dan 12 Dis sebagai hari pengundian.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/
-- BERNAMA