Am 28/11/2026 07:25 PM

Yakin MADANI Pulau Pinang: Julung Kali Jualan Rahmah Hingga 10 Malam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Yakin MADANI Pulau Pinang: Julung Kali Jualan Rahmah Hingga 10 Malam
Orang ramai mendapatkan barangan keperluan asas di reruai Jualan Rahmah sempena Program Yakin MADANI bertemakan "Memaknai Harapan Rakyat" di Politeknik Balik Pulau.

BALIK PULAU, 28 Nov (Bernama) -- Bagi memberi lebih banyak ruang kepada orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, buat julung kali Jualan Rahmah MADANI bersempena dengan Program Yakin MADANI Pulau Pinang dilanjutkan hingga 10 malam, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata pendekatan baharu itu membolehkan pengunjung, khususnya golongan pekerja yang mempunyai kekangan masa pada waktu siang, mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

"Selalunya Jualan Rahmah MADANI dilaksankan hingga sekitar 5 petang sahaja, namun hari ini kami bawakan hingga 10 malam supaya lebih ramai penduduk dapat datang dan mengambil peluang membeli  barangan pada harga lebih murah.

"KPDN bawakan lebih 100 jenis barangan yang ditawarkan pada harga 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding di pasaran. Jualan ini berlangsung selama dua hari dengan esok bermula 10 pagi hingga 5 petang, " katanya ketika ditemui Bernama di Politeknik Balik Pulau yang terletak berhampiran Kompleks Sukan Balik Pulau di sini hari ini.

Antara barangan yang ditawarkan termasuk gula, minyak masak, sabun, sardin, telur, rempah, bahan perasa, sos, kicap, susu pekat, susu formula serta lampin pakai buang bayi.

Pengunjung, Aishah Ibrahim, 68, berkata jualan berkenaan sentiasa dinantikan keluarganya setiap bulan kerana menawarkan pelbagai barangan keperluan pada harga lebih mampu milik, khususnya gula, minyak dan sabun.

Suri rumah itu berkata keluarganya mampu menjimatkan hingga RM50 setiap kali membeli-belah di Jualan Rahmah MADANI dan kualiti barangan yang ditawarkan juga setanding dengan produk di pasar raya serta kedai runcit.

"Selalunya bila dapat tahu ada jualan Rahmah MADANI memang kami akan pergi membeli barang keperluan seperti telur ayam kerana di kedai bagi telur gred B biasanya boleh cecah hingga RM15 sepapan tapi di sini harganya RM10," katanya yang tinggal di Simpang Empat, Nibong Tebal. 

Seorang lagi pengunjung, Yeoh Keong Wei, 43, berkata dia bersama isterinya mengambil peluang mengunjungi jualan berkenaan kerana ia menawarkan pilihan barangan yang lebih pelbagai, termasuk produk keluaran FGV Holdings Berhad (FGV).

Yeoh berkata kepelbagaian produk yang ditawarkan pada harga lebih rendah memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

"Saya rasa jualan hari ini ada lebih 100 jenis barangan termasuk produk daripada FGV yang ditawarkan pada harga murah, jadi sebagai pengguna kami ada pilihan untuk membeli barangan keperluan di sini.

"Saya rasa ini pertama kali Jualan Rahmah MADANI menawarkan barangan keperluan yang banyak untuk pengunjung," kata peniaga yang tinggal Kampung Baru di sini.

Program Yakin MADANI bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” yang menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung itu, berlangsung dua hari bermula hari ini dan diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Pelbagai perkhidmatan kerajaan, peluang pekerjaan, aktiviti kekeluargaan serta inisiatif penjimatan kos sara hidup menerusi Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI turut ditawarkan sempena program itu yang dijadualkan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

-- BERNAMA