Politik 28/11/2026 04:55 PM

PRN Sarawak: Penyertaan Calon Wanita Menurun Meski Lima Menang Tanpa Bertanding

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: Penyertaan Calon Wanita Menurun Meski Lima Menang Tanpa Bertanding

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Penyertaan calon wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 mencatatkan penurunan  68 peratus kepada 14 orang berbanding 44 orang pada PRN sebelum ini.

Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan calon wanita membentuk 8.3 peratus daripada keseluruhan 168 calon kali ini, berbanding kira-kira 13 peratus daripada 349 calon pada PRN Sarawak 2021.

Dengan 14 calon wanita bagi keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, representasi wanita menerusi PRN kali ini tidak melebihi 16 peratus, mengambil kira pertembungan sesama calon wanita di kerusi Pelawan.

Bagaimanapun, lima calon wanita, termasuk dua muka baharu sudah memperoleh kerusi DUN selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding pada proses penamaan calon hari ini.

Kesemua mereka mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus menjamin sekurang-kurangnya lima daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan akan diwakili wanita bagi penggal akan datang.

Mereka ialah Ketua Wanita GPS merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah (Dalat), Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga).

Turut mencatat kemenangan ialah dua muka baharu Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (Muara Tuang) dan Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu).

Perhatian kini beralih kepada sembilan lagi calon wanita yang akan melalui proses pengundian, dengan beberapa kerusi menyaksikan penyertaan tokoh politik berpengalaman serta calon muda.

Di Pending, calon DAP Violet Yong Wui Wui akan mempertahankan kerusinya untuk penggal kelima dalam saingan tiga penjuru menentang calon GPS Datuk Wee Hong Seng dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tiong Ing Neng.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng daripada DAP akan berdepan calon GPS Kevin Lau dalam saingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Bawang Assan.

Kerusi Pelawan pula menyaksikan pertembungan sesama wanita apabila Irene Wong Lee Ting daripada DAP, yang juga calon termuda pada PRN kali ini dicabar Priscilla Lau daripada PBK serta penyandang Michael Tiang dari GPS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian awal PRN Sarawak ke-13 pada 8 Dis, manakala hari pengundian pada 12 Dis depan.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.

-- BERNAMA