Am 28/11/2026 04:31 PM

Ekosistem Pendidikan Perlis Pemangkin Pertumbuhan Kedai Buku Fizikal - Raja Perlis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ekosistem Pendidikan Perlis Pemangkin Pertumbuhan Kedai Buku Fizikal - Raja Perlis
Foto kredit : Istana Arau

ARAU, 28 Nov (Bernama) -- Kewujudan ekosistem pendidikan yang rancak dengan rangkaian institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah di Perlis sewajarnya menjadi pemacu kepada pembukaan lebih banyak kedai buku fizikal di negeri itu.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah langkah itu penting bagi menyemarakkan budaya ilmu serta memperkukuh ekosistem literasi dalam kalangan masyarakat setempat.

“Walaupun dunia kini pesat melangkah ke era pendigitalan dan masyarakat semakin cenderung menggunakan medium elektronik sebagai bahan bacaan, kewujudan ekosistem pendidikan yang rancak dengan rangkaian IPT serta sekolah di negeri ini sewajarnya menjadi pemacu kepada pembukaan lebih banyak kedai buku fizikal di Perlis,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian ketika baginda berkenan menerima sembah menghadap Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada yang baharu John K. Samuel di Balai Menghadap Biru, Istana Arau di sini malam tadi seperti dimaklumkan kenyataan Istana Arau hari ini.

Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pertemuan itu turut mencerminkan hubungan baik serta ruang pertukaran pandangan antara Perlis dengan perwakilan diplomatik Malaysia dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah potensi dan keberadaan IPT di negeri itu wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak berkepentingan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi yang mampu memberikan pulangan berimpak tinggi kepada Perlis dan rakyatnya.

Sementara itu, pada majlis menghadap itu, Raja Perlis menzahirkan nasihat kepada John agar sentiasa memelihara nama baik dan imej negara di persada antarabangsa, di samping mencurahkan khidmat bakti yang terbaik demi kebajikan komuniti Malaysia di Kanada.

Dalam pada itu, John menyuarakan hasrat untuk membantu memudah cara jaringan kerjasama strategik antara IPT di Perlis, khususnya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dengan institusi-institusi pengajian tinggi di Kanada. 

“Inisiatif ini bakal memberi tumpuan kepada pelaksanaan program jangka pendek serta mobiliti akademik dalam usaha memperluas pendedahan antarabangsa dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara,” katanya.

Untuk rekod, John dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada pada 19 Okt.

-- BERNAMA