KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Sabah Electricity perlu mempercepat kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah bagi membantu rakyat yang masih berdepan pelbagai kesulitan akibat gangguan kemudahan itu.
Sambil melahirkan rasa dukacita dengan gangguan elektrik yang menjejaskan lapan daerah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi meringankan beban harian penduduk termasuk calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Gangguan ini menimbulkan kesulitan dalam urusan harian penduduk, terutama bagi anak-anak yang sedang membuat persiapan untuk menduduki SPM. Sediakan bekalan elektrik sementara dengan mengutamakan sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal.
“Bencana mungkin sukar dielakkan, tetapi kepantasan kita bertindak menentukan berapa lama rakyat terpaksa menanggung kesannya. Setiap jam sangat bermakna buat mereka,” katanya dalam perkongsian di laman Facebooknya hari ini.
Kejadian menara T313 tumbang akibat tanah tidak stabil pada 6.04 pagi Khamis lepas di Ranau, telah memutuskan dua litar talian penghantaran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah.
Sabah Electricity menyasarkan pemulihan bekalan elektrik itu pada 2 Dis atau lebih awal dan orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-852 5427.
-- BERNAMA