Politik 28/11/2026 02:45 PM

PRN Sarawak: Empat Muka Baharu GPS Menang Tanpa Bertanding

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: Empat Muka Baharu GPS Menang Tanpa Bertanding
Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (DUN) Muara Tuang, Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu) , Yussuf Chik (Simunjan) dan Awg Nashfarini Awg Sarbini (Beting Maro) -- Kredit UKAS

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Empat daripada 11 muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencipta kejayaan dalam penampilan sulung mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas proses penamaan calon hari ini.

Mereka ialah calon termuda, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, Yussuf Chik (Simunjan), Awg Nashfarini Awg Sarbini (Beting Maro) dan Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu).

Kemenangan itu menyaksikan keempat-empat calon berkenaan bakal menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak buat kali pertama tanpa perlu melalui proses pengundian pada 12 Dis ini.

Mereka adalah antara 29 calon GPS yang menang tanpa bertanding hari ini, sekali gus menyaksikan gabungan itu hanya memerlukan 13 lagi kerusi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu, turut diisytiharkan menang tanpa bertanding ialah Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Gedong, serta dua Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas (Bukit Saban) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Bukit Sari).

Antara pemimpin kanan GPS lain yang turut menang tanpa bertanding ialah Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (Asajaya), Datuk Seri Julaihi Narawi (Sebuyau) dan Datuk Seri Fatimah Abdullah (Dalat).

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman menang tanpa bertanding, sekali gus mengekalkan kemenangan beliau untuk penggal ketiga berturut-turut.

Fazzrudin ketika ditemui pemberita berkata kemenangan tanpa bertanding itu bukan alasan untuk beliau berasa selesa, sebaliknya membawa amanah untuk memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan politik serta perpaduan di kawasan berkenaan.

“Sudah tentu tidak (berasa selesa). Malah, ia menjadi tanggungjawab dan amanah yang lebih berat lagi untuk memastikan ketiga-tiga aspek yang saya sebutkan tadi dapat kita laksanakan,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman itu.

Pada PRN Sarawak 2021, Fazzrudin mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 11,209 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahmad Nazib Johari dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Chan Haong Yen.

Kejayaan sama turut dilakar penyandang kerusi DUN Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang buat kali pertama diisytiharkan menang tanpa bertanding sejak mula bertanding di kerusi berkenaan pada PRN Sarawak kelapan pada 2001.

Dalam PRN sebelum ini, Abdul Rahman berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 10,699 undi, menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mahmud Sabli yang memperoleh 2,318 undi.

Sementara itu di Sibu, penyandang dan juga calon GPS DUN Katibas, Lidam Assan menang tanpa bertanding selepas muncul sebagai calon tunggal yang mengemukakan kertas pencalonan. 

Pada PRN Sarawak 2021, GPS memperoleh mandat besar selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PRN Sarawak ke-13 mempertaruhkan 82 kerusi DUN dengan melibatkan 2,058,781 pemilih berdaftar di seluruh negeri.

SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Dis, manakala hari pengundian berlangsung pada 12 Dis.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.

-- BERNAMA