Am 28/11/2026 01:47 PM

Malaysia Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Penyelesaian Pertikaian Diyakini - Azalina

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Penyelesaian Pertikaian Diyakini - Azalina
Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab global yang diyakini bagi penyelesaian pertikaian antarabangsa susulan kejayaan menjadi tuan rumah mesyuarat ketiga Suruhanjaya Pendamaian antara Kemboja dan Thailand di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini dari 24 hingga 27 Nov.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata prosiding yang diadakan mengikut Annex V Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) itu mencapai kemajuan teknikal yang positif serta persetujuan bersama untuk suruhanjaya berkenaan mengadakan lawatan ke lokasi terbabit.

Beliau berkata pemilihan AIAC, sebuah organisasi antarabangsa yang bebas sebagai lokasi bagi prosiding pendamaian antara negara mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang berkecuali, selamat dan menyediakan persekitaran kondusif bagi perbincangan yang membina.

“Pemilihan AIAC, sebuah organisasi antarabangsa yang bebas sebagai lokasi bagi prosiding pendamaian antara negara mencerminkan keupayaannya untuk menyokong prosiding antarabangsa yang kompleks, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab global yang diyakini bagi penyelesaian pertikaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata sesi di Kuala Lumpur itu menyusuli kenyataan media bertarikh 27 Nov yang dikeluarkan oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) yang mengumumkan berakhirnya sesi ketiga, selepas mesyuarat terdahulu diadakan di Singapura dari 14 hingga 16 Sept dan di The Hague, Belanda dari 14 hingga 18 Okt.

Beliau merakamkan penghargaan kepada PCA atas kerjasama erat dengan Malaysia dalam memudah cara penganjuran di AIAC, sambil menyatakan bahawa Malaysia berharap dapat terus memperkukuh kerjasama menerusi Perjanjian Negara Tuan Rumah bagi memajukan penyelesaian pertikaian antarabangsa.

“Berpandukan rasa hormat terhadap kedaulatan undang-undang dan undang-undang antarabangsa awam, Malaysia kekal komited terhadap penyelesaian pertikaian secara aman, dengan berperanan sebagai lokasi berkecuali bagi timbang tara antarabangsa serta tempat yang diyakini untuk semua bentuk penyelesaian pertikaian alternatif (ADR),” katanya.

Azalina turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Jemaah Menteri atas sokongan padu dalam memudah cara penganjuran mesyuarat ketiga di Kuala Lumpur.

 

-- BERNAMA