KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Proses penamaan calon di kesemua 82 pusat penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 hari ini berlangsung dengan aman, lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Saifullizan Ishak berkata semua calon, parti politik dan penyokong diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan pilihan raya, termasuk arahan dan ketetapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari.
“Semua pihak diingatkan supaya mengelakkan provokasi, perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau tindakan yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara penyokong parti politik.
“Polis Diraja Malaysia turut memberi perhatian serius terhadap penyalahgunaan platform media sosial, khususnya penyebaran berita palsu, fitnah, hasutan serta isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.
Saifullizan berkata PDRM akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan keselamatan, bagi memastikan kelancaran setiap fasa pilihan raya, termasuk pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Dis ini.
Beliau turut menyeru semua pihak mengamalkan sikap matang, bertanggungjawab dan saling menghormati sepanjang proses pilihan raya, bagi mengekalkan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis ini.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.
-- BERNAMA