Politik 28/11/2026 01:27 PM

PRN Sarawak: Kemenangan Mutlak GPS Di Petra Jaya Cermin Keyakinan Rakyat - Fadillah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: Kemenangan Mutlak GPS Di Petra Jaya Cermin Keyakinan Rakyat - Fadillah
Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof (dua, kiri) meraikan kemenangan tanpa bertanding calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (dua, kanan) bagi kerusi DUN N.06 Tupong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 di Dewan Al Muneerah, SMK Petrajaya hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Petra Jaya tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai pengiktirafan terhadap rekod perkhidmatan wakil rakyat dan kepimpinan gabungan itu. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata kemenangan Datuk Fazzrudin Abdul Rahman di DUN Tupong, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang) dan Datuk Ibrahim Baki (Satok) mencerminkan keyakinan rakyat terhadap komitmen ketiga-tiga penyandang dalam memperjuangkan kepentingan penduduk tempatan.

Beliau berkata kejayaan itu turut mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diterajui Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Kemenangan tanpa bertanding ini bukan sekadar satu pencapaian, malah mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan terhadap rekod perkhidmatan serta komitmen berterusan ketiga-tiga penyandang dalam mendengar, memahami dan memperjuangkan keperluan rakyat di kawasan masing-masing," katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)  itu berkata beliau akan terus bekerjasama dengan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan bagi membangunkan kawasan Petra Jaya serta memastikan khidmat terbaik diberikan demi kesejahteraan penduduk.

Fadillah turut mengingatkan bahawa mandat yang diterima merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi serta integriti, dengan kebajikan rakyat kekal sebagai keutamaan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), petugas pilihan raya, pasukan keselamatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas komitmen memastikan proses penamaan calon berlangsung lancar dan teratur.

Terdahulu, SPR mengumumkan sebanyak 29 calon disahkan menang tanpa bertanding pada PRN Sarawak kali ini.

SPR menetapkan pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis ini.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.  

-- BERNAMA