IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Gugusan Manjoi di sini semalam disifatkan penduduk sebagai kejadian terburuk dalam tempoh lebih sedekad, meskipun air surut dalam masa singkat.
Pesara kerajaan Salim Mawar, 71, yang menetap di Jalan Menteri berkata beliau menyedari mengenai bencana itu kira-kira 4.30 petang selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya yang tinggal berhampiran.
"Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat Asar sebelum anak saudara menjerit memaklumkan air mula naik. Saya bergegas mengalihkan kereta dan motosikal ke hadapan rumah, namun air naik terlalu pantas hingga menenggelamkan ketiga-tiga kereta dan motosikal saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Beliau berkata air banjir naik mencecah kira-kira satu meter, menyebabkan hampir semua harta benda termasuk kenderaan, peti sejuk dan mesin basuh rosak ditenggelami air.
Salim berkata susulan bencana itu, beliau terpaksa bertungkus-lumus membersihkan rumah hingga 5 pagi tadi.
Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan puluhan penduduk di Jalan Menteri, Jalan Tali Api, Jalan Pemimpin dan Kampung Tengku Hussein Hujung terjejas, selain beberapa laluan terputus hubungan.
Kenaikan air banjir yang terlalu pantas turut mengakibatkan kemusnahan harta benda dan dokumen penting penduduk.
Sementara itu, Nur Aina Aqilah Hanif, 21, berdepan detik cemas apabila terperangkap bersama-sama enam individu lain, termasuk tiga kanak-kanak di bawah jagaannya yang berusia antara 11 bulan hingga empat tahun.
Beliau berkata arus deras Sungai Tapah, yang terletak kurang 10 meter dari rumahnya, menyebabkan pintu dapur pecah sebelum air melimpah masuk dan memaksa mereka berlindung di dalam bilik.
"Saya terpaksa bertenang dan meletakkan anak-anak asuhan di atas katil tinggi sebelum menghantar mesej kepada keluarga untuk meminta bantuan," katanya.
Nur Aina Aqilah berkata mereka menunggu lebih setengah jam dalam keadaan paras air mencecah dada sebelum diselamatkan pasukan penyelamat menggunakan bot.
Beliau berkata meskipun ahli keluarga sempat mengalihkan kenderaan ke hadapan rumah selepas melihat air longkang mula naik, arus deras sungai menyebabkan barangan di dalam rumah tidak sempat diselamatkan.
"Air di dalam rumah hanya surut sepenuhnya selepas waktu Isyak dan sejak itu kami membersihkan selut serta mengemas kediaman yang terjejas," katanya.
-- BERNAMA