LAWAS, 28 Nov (Bernama) -- Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari hari ini dikejutkan dengan tindakan Mohamad Brahim, 61, yang menarik balik pencalonan daripada bertanding Bebas pada saat akhir demi menyokong agenda pembangunan dibawa penyandang kerusi berkenaan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Tindakan Mohamad sekali gus menyaksikan Timbalan Premier daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu diumumkan menang tanpa bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Sari, Ladin Atok pada 10.10 pagi.
Sebelum itu, Mohamad yang mengemukakan borang pencalonannya kira-kira 9.10 pagi bertindak menarik balik pada 9.45 pagi, hanya 15 minit sebelum tempoh penamaan calon ditutup pada 10 pagi.
Suasana di pusat penamaan calon di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lawas di sini bertukar sebak apabila Mohamad dilihat mengesat air mata menggunakan tisu ketika menandatangani borang untuk menarik balik pencalonan.
Ketika ditemui pemberita selepas itu, beliau berkata meskipun pada awalnya berhasrat mencabar Awang Tengah, keputusan berkenaan diambil setelah mempertimbangkan perkembangan serta keperluan pembangunan di daerah ini.
"Niat saya memang saya nak bertanding, tetapi bila memikirkan suasana pembangunan dan keadaan, saya mengambil pilihan bahawa saya sokong Datuk Awang Tengah, (beliau) boleh membangunkan Lawas," katanya.
Mohamad berkata keputusan itu dimuktamadkan hari ini dan beliau akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Awang Tengah serta dasar pembangunan yang dibawa Timbalan Premier Sarawak berkenaan.
Beliau yang pernah bertanding dalam tiga pilihan raya sebelum ini, masing-masing dua kali bagi kerusi Parlimen Lawas dan sekali bagi kerusi DUN Bukit Sari, turut mengakui secara peribadi berasa kecewa kerana tidak dapat meneruskan hasrat tersebut.
Mengulas tindakannya menitiskan air mata ketika menandatangani borang penarikan diri itu, beliau berkata perasaan yang dilaluinya sukar diungkapkan dengan kata-kata.
"Saya tidak boleh mengungkapkan. Yang saya ungkapkan dari hati, saya dukung kerajaan terkini dan hasil usaha di Lawas ini ada yang meningkat dan dapat dimajukan," katanya.
Terdahulu, Mohamad tiba di pusat penamaan calon pada 8.40 pagi, manakala Awang Tengah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tiba di pekarangan pusat berkenaan seawal 7.40 pagi bersama-sama penyokongnya.
Kemenangan tanpa bertanding hari ini menyaksikan Awang Tengah memperoleh mandat bagi penggal kesembilan berturut-turut sebagai wakil rakyat.
Ia merupakan kali ketiga beliau menang tanpa bertanding sepanjang hampir empat dekad bergelar wakil rakyat, selepas mencatat kejayaan sama di DUN Lawas pada 1996 dan DUN Bukit Sari pada 2016.
Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.
-- BERNAMA