Politik 28/11/2026 01:04 PM

PRN Sarawak: Enam Ahli Parlimen Hangatkan Saingan Kerusi DUN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PRN Sarawak: Enam Ahli Parlimen Hangatkan Saingan Kerusi DUN
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Tiong King Sing merupakan calon kedua manakala calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Stanley Pua calon pertama selepas mencabut undi di Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Dudong sempena Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 di Dewan Komuniti Sibu Jaya hari ini.

KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 yang membuka tirai hari ini, menyaksikan enam Ahli Parlimen bertanding pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan kerusi Batu Lintang, Kota Sentosa, Repok, Dudong, Bawang Assan dan Pelagus.

Penyertaan mereka pastinya menghangatkan lagi suhu kempen menjelang hari pengundian pada 12 Dis ini, dengan masing-masing membawa reputasi serta pengaruh tersendiri pada peringkat nasional dan negeri.

Ahli Parlimen Bintulu yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), mempertahankan kerusi DUN Dudong yang mempunyai 56,555 pemilih berdaftar.

Penyandang kerusi itu yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang menang dengan majoriti 5,806 undi pada PRN lepas, bakal berdepan saingan satu lawan satu menentang calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Stanley Phua.

Di zon bandar raya Kuching, tumpuan terarah kepada kerusi DUN Batu Lintang apabila Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen daripada DAP, tampil mencabar penyandang kerusi berkenaan See Chee How yang mewakili GPS.

Pertembungan di kawasan melibatkan 47,315 pemilih berdaftar itu sengit, memandangkan See sebelum ini menang tipis dengan majoriti hanya 93 undi, selain persaingan turut disertai Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan dalam saingan tiga penjuru.

Suasana hangat turut dijangka berlaku di kerusi “jiran”, Kota Sentosa apabila Pengerusi DAP Sarawak merangkap Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, kembali bertanding bagi merampas semula kerusi yang pernah disandangnya itu.

Beliau bakal berdepan penyandang daripada GPS Wilfred Yap Yau Sin yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,683 undi pada pilihan raya lepas, selain calon PBK Lue Cheng Hing di kawasan yang memiliki 48,460 pemilih berdaftar.

Beralih ke zon tengah Sarawak, dua penyandang kerusi Parlimen turut menggalas tanggungjawab mempertahankan kerusi DUN masing-masing atas tiket GPS.

Di DUN Repok, Ahli Parlimen Sarikei Datuk Seri Huang Tiong Sii berjaya mempertahankan kerusi melibatkan 32,971 pemilih itu, selepas menang tanpa bertanding.

Kejutan besar pula berlaku di kerusi DUN Bawang Assan, apabila DAP mengumumkan pencalonan Ahli Parlimen Lanang merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng.

Kerusi yang mempunyai 22,832 pemilih itu, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Alice Lau dan calon muka baharu GPS Kevin Lau Kor Jie.

Di kawasan pedalaman, DUN Pelagus turut mencuri tumpuan susulan kemunculan semula Ahli Parlimen Julau merangkap Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Larry Sng Wei Shien, ke gelanggang DUN yang pernah dimenanginya selama dua penggal sebelum ini.

Di kawasan melibatkan 12,301 pemilih itu, Larry Sng bakal berdepan calon muka baharu GPS yang juga bekas Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut, selepas penyandang dua penggal Wilson Nyabong Ijang yang meraih majoriti 1,049 undi pada PRN lepas, mengundur diri bagi memberi laluan kepada calon pelapis.

PRN Sarawak ke-13 mempertandingkan 82 kerusi DUN melibatkan 2,058,781 pemilih berdaftar di seluruh negeri, dengan GPS telah memenangi 29 kerusi tanpa bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 8 Dis, manakala 12 Dis sebagai hari pengundian.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/.

-- BERNAMA