Am 28/11/2026 04:09 PM

Graduan UTHM Diseru Rebut Peluang Kerjaya Di JS-SEZ

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Graduan UTHM Diseru Rebut Peluang Kerjaya Di JS-SEZ
Kredit Foto: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

BATU PAHAT, 28 Nov (Bernama) -- Graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari Johor diseru merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

Pro Canselor II UTHM Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata pembangunan Johor menerusi inisiatif itu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta merancakkan pertumbuhan perniagaan.

“Bagi menyokong inisiatif ini, saya mahu UTHM bekerjasama erat dengan kerajaan negeri dan industri untuk mempersiapkan graduan supaya mempunyai ilmu serta berkemahiran tinggi.

“Saya mahu melihat graduan UTHM, khususnya anak Johor, merebut peluang kerjaya yang tersedia dan turut menjadi penggerak kemajuan negeri,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-26 UTHM di Dewan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Azmi turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan UTHM meraih Anugerah Universiti TVET Terbaik Malaysia 2026, yang menurut beliau membuktikan keupayaan universiti berkenaan melahirkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri.

Azmi berkata UTHM perlu merasionalisasikan struktur dan program akademik bagi memastikan universiti berkenaan terus menerajui bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju, selaras dengan keperluan industri serta masyarakat.

Selain itu, beliau berharap perancangan strategik universiti yang berteraskan keusahawanan, pendigitalan dan penyahkarbonan mampu merealisasikan aspirasi UTHM untuk muncul sebagai universiti teknousahawan global menjelang 2030.

Menurut Azmi, ketiga-tiga teras berkenaan perlu dilaksanakan dengan berkesan, khususnya dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan kampus, meningkatkan pengurusan data serta menyemarakkan budaya hijau.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada graduan sulung Johor Business School dan berharap institusi itu terus melahirkan graduan berfikiran teknousahawan serta berdaya saing untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya Johor.

Sebanyak 4,917 graduan diraikan pada istiadat konvokesyen kali ini yang turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan kepada bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau kepada negeri dan rakyat Johor.

-- BERNAMA