Dunia 28/11/2026 10:57 AM

Taiwan Adakan Pilihan Raya Tempatan, Referendum Mengenai Tenaga Nuklear

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Taiwan Adakan Pilihan Raya Tempatan, Referendum Mengenai Tenaga Nuklear
Orang ramai mengundi di sebuah pusat mengundi di Taipei, Taiwan pada Sabtu, 28 Nov 2026. (AP Photo/Chiang Ying-ying)

ISTANBUL, 28 Nov (Bernama-Anadolu) -- Taiwan membuka pusat mengundi pada Sabtu bagi pilihan raya tempatan untuk memilih ribuan pegawai dalam saingan yang berpotensi mengubah landskap politik pulau itu menjelang pilihan raya presiden dan perundangan pada 2028, selain mengadakan referendum mengenai pembatalan dasar tenaga bebas nuklear, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pengundian berlangsung dari 8 pagi hingga 4 petang waktu tempatan (0000 GMT hingga 0800 GMT).

Pilihan raya itu akan mengisi 11,051 jawatan dalam kerajaan tempatan di enam perbandaran khas serta 16 daerah dan bandar.

Dikenali sebagai pilihan raya “sembilan dalam satu”, pilihan raya itu diadakan setiap empat tahun dan meliputi sembilan kategori jawatan yang dipilih menerusi pengundian, daripada datuk bandar hingga ketua kampung dan ketua kawasan kejiranan.

Badan perundangan meluluskan cadangan referendum itu dengan 59 undi menyokong dan 51 menentang pada Ogos.

Taiwan menghentikan penjanaan elektrik menggunakan tenaga nuklear pada Mei 2025 apabila reaktor terakhir yang beroperasi di Loji Jana Kuasa Nuklear Maanshan ditutup, sekali gus melengkapkan proses penghentian penggunaan tenaga nuklear secara berperingkat yang dilaksanakan oleh Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah sejak kembali berkuasa pada 2016.

Lebih 20 juta orang layak mengundi dalam referendum itu, yang memerlukan sekurang-kurangnya lima juta undi menyokong untuk diluluskan.

Hampir 19.6 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya tempatan, manakala lebih 20 juta boleh mengundi dalam referendum itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Taiwan seperti dilaporkan Agensi Berita Pusat (CNA).

Proses pengiraan undi dijangka selesai menjelang tengah malam (1600 GMT).

-- BERNAMA-ANADOLU