Am 27/11/2026 04:17 PM

Cabutan Kedua Kempen Bonanza UDA Tawar Ganjaran Hampir RM100,000

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Cabutan Kedua Kempen Bonanza UDA Tawar Ganjaran Hampir RM100,000
Pengerusi UDA Holdings Berhad Tan Sri Annuar Zaini (dua, kanan) melakukan cabutan sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali (kanan) ketika Cabutan Bertuah Kempen Bonanza Memenuhi Impian sempena Sambutan Ulang Tahun ke-55 UDA Holdings Berhad di Odeon Kuala Lumpur hari ini

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan ganjaran bernilai hampir RM100,000 menerusi cabutan bertuah kedua Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026 bersempena dengan ulang tahun ke-55 penubuhannya.

Cabutan bertuah berkenaan menawarkan enam hadiah terdiri daripada sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5 dan lima keping emas HABIB 999.9 seberat lima gram setiap satu.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata kempen itu diadakan bagi memberi peluang kepada pembeli memiliki kediaman, di samping berpeluang memenangi hadiah cabutan menarik.

“Cabutan bersempena dengan ulang tahun ke-55 ini menjadi tanda penghargaan kami atas kepercayaan para pembeli terhadap produk hartanah UDA. 

“Inisiatif ini telah diperkenalkan pada Jun lepas bagi insentif pembelian kepada mereka yang ingin memiliki hartanah UDA sambil berpeluang mendapat ganjaran istimewa. Sebanyak RM200 juta nilai jualan kasar (GSV) disasarkan melalui kempen ini dengan pencapaian sebanyak 70 peratus telah direkodkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program cabutan bertuah kempen itu, yang dirasmikan Pengerusi UDA Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Kempen yang berlangsung hingga 31 Dis ini menawarkan pilihan daripada 21 pembangunan kediaman dan komersial di seluruh negara, merangkumi pelbagai lokasi, harga dan konsep pembangunan.

Ahmad Fuaad berkata kepelbagaian itu memberi ruang kepada bakal pembeli untuk meneroka hartanah yang sesuai dengan cita rasa masing-masing.

Selain itu, beliau berkata program Referral turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas capaian kepada bakal pembeli melalui pelanggan dan rangkaian komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilikan hartanah merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kesejahteraan serta memperkukuh penyertaan masyarakat dalam ekonomi negara dan selama 55 tahun, UDA memainkan peranan menyokong usaha tersebut melalui pembangunan hartanah dan pembentukan komuniti yang inklusif serta mampan.

“Selaras dengan aspirasi ‘UDA Memenuhi Impian’, kami akan terus memberi tumpuan kepada menyediakan pilihan hartanah yang memenuhi keperluan dan kemampuan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, seorang pemenang membawa pulang sebuah kereta Proton e.MAS 5 manakala lima individu masing-masing menerima sekeping emas HABIB.

Cabutan Hadiah Utama Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026 pula akan berlangsung pada April 2027.

Buat kali pertama dalam sejarah kempen hartanah UDA, hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah unit kediaman Residensi Dedaun bernilai RM508,000 di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras serta 10 keping emas HABIB dengan setiap satu seberat lima gram.

Antara pembangunan kediaman yang menyertai kempen itu ialah Residensi Dedaun, Residensi 38 Bangsar dan Residensi Akasia Raya di Lembah Klang; Amaanee Residences serta Eight & Eight Condominium di Pulau Pinang; Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin (Kedah); Taman Sena Permai (Perlis); UDA Heights, UDA Vista, Residensi Mutiara dan Residensi Sedili (Johor); Pelindung Heights dan Sena @ KTGR (Pantai Timur); serta Neu Pendington di Kuching, Sarawak.

-- BERNAMA