Am 27/11/2026 04:50 PM

Untung Bersih OSK Holdings Suku Ketiga Meningkat Kepada RM156.61 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Untung Bersih OSK Holdings Suku Ketiga Meningkat Kepada RM156.61 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- OSK Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM156.61 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2026 daripada RM152.18 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Perolehan meningkat sebanyak 37 peratus kepada RM678.91 juta daripada RM496.68 juta sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu menyatakan portfolio perniagaan kumpulan yang pelbagai telah menjana pertumbuhan pendapatan yang menyeluruh.

Menurutnya, semua segmen turut mencatatkan prestasi lebih baik kecuali segmen perkhidmatan kewangan dan pegangan pelaburan yang merekodkan sumbangan keuntungan lebih rendah.

“Kumpulan mencatatkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat sebanyak RM156.6 juta (+3 peratus tahun ke tahun),” jelasnya.

OSK memberitahu perolehan segmen hartanah melonjak kepada RM260.3 juta manakala keuntungan sebelum cukai bertambah baik kepada RM51.1 juta dengan projek pembangunan kumpulan yang sedang dilaksanakan berjalan mengikut perancangan, disokong oleh momentum jualan yang sihat dan kemajuan pembinaan.

Kumpulan itu memaklumkan segmen perkhidmatan kewangan mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 18 peratus kepada RM92.2 juta.

Dalam pada itu keuntungan sebelum cukai susut satu peratus kepada RM32.0 juta daripada suku ketiga tahun kewangan 2025 berikutan terjejas oleh kerugian rosot nilai bersih sebanyak RM14.3 juta yang diiktiraf pada suku semasa.

Kumpulan itu memberitahu segmen perindustrian mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 59 peratus kepada RM291.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 manakala keuntungan sebelum cukai meningkat 33 peratus kepada RM17.0 juta daripada suku ketiga tahun kewangan 2025.

Prestasi itu dipacu oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dalam bahagian kabel, disokong oleh peningkatan pesanan daripada sektor utiliti awam dan swasta.

Selain itu, menurut kumpulan itu, segmen hospitaliti mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak sembilan peratus kepada RM34.5 juta dan kenaikan keuntungan sebelum cukai sebanyak 24 peratus kepada RM4.2 juta, dipacu oleh sumbangan bagi tempoh suku penuh daripada Swiss-Grand Beach Resort Kuantan yang dijenamakan semula selepas selesai kerja pengubahsuaian Fasa 2.

Bagaimanapun, OSK menyatakan segmen pegangan pelaburan mencatatkan penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 17 peratus kepada RM76.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026 disebabkan oleh sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada RHB Bank.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM438.06 juta daripada RM418.47 juta dalam tempoh sama tahun lepas manakala perolehan menokok sedikit kepada RM1.68 bilion daripada RM1.41 bilion setahun lepas.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Eksekutif OSK Tan Sri Ong Leong Huat berkata syarikat itu terus melihat peluang merentasi perniagaannya meskipun persekitaran operasi berdepan pelbagai cabaran.

“Portfolio perniagaan kami yang pelbagai kekal sebagai kekuatan penting, membolehkan kami memanfaatkan pengalaman dan keupayaan pelbagai segmen perniagaan selain terus memberi tumpuan kepada matlamat jangka panjang,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan menjelang suku terakhir 2026, kumpulan itu kekal memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan momentum perniagaan dan meneruskan kemajuan yang telah dicapai merentasi semua operasinya.

“Keutamaan kumpulan termasuk meneruskan pembangunan projek hartanah yang sedang dilaksanakan, mengembangkan portfolio pembiayaan, memperkukuh prestasi hotel serta meningkatkan kecekapan operasi merentasi segmen perindustrian.

“Walaupun keadaan pasaran dan tekanan kos terus memberi cabaran, kumpulan kekal berdisiplin dalam menguruskan perniagaannya dan meneroka peluang merentasi pasaran yang diceburinya dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang,” tambahnya.

-- BERNAMA