Pesona seni bina kota Samarkand yang terkenal dengan bangunan berkubah biru dihiasi jubin bermotif halus dan jejak sejarah Laluan Sutera, antara yang menggamit keinginan penulis untuk meneroka kota warisan tamadun Islam tersohor ini.
Dan, pada 27 Ogos lalu, hasrat yang tersimpan sejak sekian lama menjadi realiti apabila tugasan membuat liputan forum media antarabangsa di Uzbekistan, membuka ruang untuk penulis menjejakkan kaki di bandar raya yang sebelum ini hanya mampu dikagumi menerusi skrin peranti pintar dan komputer.
Dari segi populariti, Uzbekistan masih asing bagi kebanyakan kaki melancong di negara ini berbanding destinasi serantau seperti China dan Jepun, meskipun berlaku peningkatan ketara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Menurut Kedutaan Uzbekistan di Malaysia, trend kedatangan pelancong Malaysia ke negara itu melonjak sekali ganda kepada 10,500 orang dalam tempoh tersebut, berbanding 5,300 orang untuk tempoh sama pada 2025.
Dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong dari negara ini, Uzbekistan memperkenalkan dasar kemasukan tanpa visa hingga 30 hari bagi pemegang pasport Malaysia, selain penerbangan terus ke Tashkent, ibu negara Uzbekistan, dari Kuala Lumpur.
BAHANG BUMI UZBEK SAMBUT KETIBAAN
Ketibaan penulis di tanah Uzbek ketika negara itu sedang mengalami musim panas kering melampau dengan suhu harian antara 29 - 40 darjah Celsius cukup mencabar. Ditambah pula keadaan harinya yang panjang dan cerah hingga 13 jam.
Pun begitu, keterujaan menunggu tarikh 27 Ogos membuatkan penulis tetap seronok di sebalik kesibukan membuat liputan Forum Media Antarabangsa “Tamadun Islam: Satu Perspektif Baharu-Penemuan Baharu” yang berlangsung selama dua hari bermula 25 Ogos.
Forum anjuran Islamic Civilization Center yang berlangsung di kompleks itu di Tashkent, dihadiri oleh lebih 300 pengamal dan pakar media dari 50 negara. Malaysia diwakili penulis serta tiga lagi rakan, iaitu jurukamera Bernama TV Muhamad Fairil Azuan Muhamad Zuki; Penerbit Rancangan TV tvIKIM Mohd Hashman Firdaus Houzey Othman serta Penolong Penerbit Produksi dan Teknikal TV tvIKIM Mohamad Fairaul Rizal Ahmad.
Pagi 27 Ogos tiba. Penulis tidak dapat menyembunyikan keterujaan untuk memulakan lawatan sehari ke kota yang terletak kira-kira 300 kilometer dari ibu negara Uzbek itu.
Seawal 6 pagi, kami - kesemua peserta forum - dibawa ke Tashkent Central Railway Station yang terletak kira-kira 30 kilometer dari hotel penginapan, untuk menaiki kereta api berkelajuan tinggi, iaitu Afrosiyob.
Perjalanan dari Tashkent ke Samarkand menaiki kereta api Afrosiyob mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit, berbanding sekitar lima jam jika berkereta.
Walaupun sedikit kecewa kerana tidak mendapat tempat duduk di tepi tingkap, penulis tetap bersyukur masih dapat menikmati pemandangan sepanjang perjalanan dari Tashkent ke Samarkand, yang merentasi wilayah Sirdaryo dan Jizzakh, dengan panorama bukit-bukau, ladang, perkampungan serta bandar-bandar kecil silih berganti menyapa pandangan.
KOTA WARISAN ISLAM
Lebih kurang 9.30 pagi rombongan kami tiba di Samarkand Railway Station. Dengan menaiki bas, kami dibawa ke destinasi pertama, iaitu Kompleks Imam al-Bukhari yang terletak di perkampungan Hartang, daerah Payaryk, kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Samarkand.
Kompleks Imam al-Bukhari adalah antara beberapa mercu tanda sejarah ketamadunan Islam di Samarkand, selain Shah-i-Zinda dan seni bina kubah biru seperti Registan Square serta Masjid Bibi-Khanym
Sebaik tiba di kompleks itu, pandangan penulis terus tertumpu pada seni bina bangunan-bangunan di situ yang berwarna putih dilengkapi dengan empat menara besar serta 14 kubah berwarna biru yang mempersonakan. Sinaran matahari yang sangat terang menyerlahkan lagi warna biru pada kubah-kubah itu.
Di bahagian dalam kompleks pula kelihatan sebahagian besar dinding masjid dan bangunan-bangunan dihiasi dengan jubin berwarna biru, hijau dan putih yang disusun dalam corak geometri serta motif tumbuh-tumbuhan yang halus dan terperinci berserta tulisan khat. Gabungan warna dan tulisan di jubin itu menyerlahkan keindahan seni bina Islam.
Kawasan asal makam cendekiawan Islam, pengumpul dan perawi hadis tersohor itu mula dibina pada abad ke-16 sebelum kompleks memorial baharu didirikan pada 1998. Kemudian, bermula April 2021 menerusi inisiatif Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, kompleks tersebut menjalani pembangunan semula yang siap sepenuhnya pada 19 Mac lepas (2026).
Selain makam Imam al-Bukhari RA, kompleks berkeluasan 45 hektar tersebut turut menempatkan sebuah masjid seluas 3,924 meter persegi yang mampu menampung hingga 10,000 jemaah; sebuah muzium interaktif seluas 1,300 meter persegi yang menghimpunkan maklumat kehidupan serta sumbangan Imam al-Bukhari RA, kisah 25 nabi yang disebut dalam al-Quran, salasilah Nabi Muhammad SAW serta sejarah pengumpulan dan penulisan hadis; selain pusat pendidikan hadis atau ‘Darus Hadith’ dan pelbagai kemudahan lagi.
Secara peribadi, penulis melihat kompleks itu bukan sekadar sebuah kawasan memorial atau makam, tetapi adalah bukti betapa seriusnya kerajaan Republik Uzbekistan dalam usaha menjadikan sejarah sebagai medium untuk mendidik masyarakat dan memastikan warisan tokoh ilmuwan terdahulu terus dipelihara dan dihargai oleh generasi kini.
Kelekaan penulis menghayati keindahan bangunan sekeliling bagaimanapun terganggu beberapa kali, disapa pengunjung tempatan dengan ucapan “Assalamualaikum”, membawa ingatan penulis kepada kata-kata Mohd Hashman Firdaus ketika kami berada di Tashkent. Menurutnya, ungkapan "Assalamualaikum” di Uzbekistan adalah sapaan yang lazim digunakan oleh penduduk tempatan dalam pergaulan seharian.
“Di sini (Uzbekistan) tidak kira orang Islam ataupun bukan Islam, mereka akan mengucapkan assalamualaikum untuk bertegur sapa. Sama seperti sapaan ‘hai’ atau ‘hello’ yang biasa kita ucapkan,” kata Mohd Hashman Firdaus yang telah dua kali berkunjung ke Uzbekistan untuk liputan program.
SHAKHI-ZINDA: RAJA YANG HIDUP
Selepas hampir tiga jam di Kompleks Imam al-Bukhari, kami meneruskan perjalanan kira-kira 30 kilometer ke sebuah lagi makam bersejarah di Samarkand, iaitu Kompleks Shakhi-Zinda yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Di sini, penulis dan rakan-rakan dari Malaysia dihampiri seorang pemuda berusia 20-an yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Jamal. Anak muda ini memberitahu dia merupakan pemandu pelancong yang akan mengiringi kami di Kompleks Shakhi-Zinda dan lokasi seterusnya.
Menurut Jamal, Shakhi-Zinda merupakan kompleks makam bersejarah yang wujud sejak abad ke-11, sebelum sebahagian besar bangunannya dibina pada abad ke-14 dan ke-15 ketika pemerintahan Dinasti Timurid.
“Shakhi-Zinda yang bermaksud ‘Raja yang Hidup’ dikaitkan dengan sepupu Nabi Muhammad SAW, Qusam ibn Abbas yang dipercayai meninggal dunia dan dimakamkan di kawasan ini, selepas menyebarkan agama Islam ke Samarkand pada abad ketujuh.
“Selain itu, kawasan ini menempatkan lebih 20 bangunan kecil termasuk masjid dan beberapa makam anggota keluarga Amir Timur, seorang pemerintah dan pengasas Empayar Timurid yang pernah menguasai sebahagian besar Asia Tengah pada abad ke-14,” katanya dalam bahasa Inggeris yang lancar.
Melangkah menyusuri kawasan Kompleks Shakhi-Zinda sambil mendaki 36 anak tangga yang menjadi laluan utama ke pintu gerbang kompleks, penulis terpukau melihat kubah, pintu dan dinding makam-makam dihiasai mozek berwarna biru dan firus yang wujud sejak berabad lalu, menyerlahkan keindahan seni bina Islam pada era Timurid.
Walaupun dipenuhi pengunjung yang masing-masing sibuk mengabadikan kenangan di hadapan pintu-pintu makam, penulis tetap leka menghayati keindahan mempesona kawasan sekeliling kompleks sambil menunggu peluang untuk merakam foto.
Melihatkan Jamal terlalu bersungguh-sungguh bercerita tentang tempat bersejarah itu sehingga tidak membenarkan kami mengambil gambar kerana mahukan kami fokus pada penerangannya, mencetuskan rasa wasangka Mohamad Fairaul Rizal yang berbisik: “Aku rasa Jamal ni pemandu pelancong bebas dan bukan bekerja di bawah penganjur forum. Aku risau nanti dia akan meminta wang daripada kita.”
Terpengaruh dengan kata-kata Mohamad Fairaul Rizal, kami segera menjauhkan diri daripada Jamal dengan penulis pula sengaja memperlahankan langkah agar tertinggal di belakang pemuda itu. Setelah agak jauh, penulis berjalan-jalan bersendirian serta mengambil peluang membeli-belah cenderamata yang dijual di gerai-gerai di depan pintu masuk kompleks.
Sedang leka memilih barangan, Jamal datang kepada penulis. Wajahnya cemas, dan memaklumkan bas yang membawa kami sudah ingin bergerak ke destinasi seterusnya dan hanya penulis yang masih belum menaiki bas. Dia mengiringi penulis menaiki bas berkenaan.
Melihatkan Jamal turut berada di dalam bas dan berbual dengan kakitangan Islamic Civilization Centre, perasaan bersalah segera menerpa kerana telah bersangka buruk terhadap pemuda itu.
Rupa-rupanya Jamal merupakan pelajar di sebuah universiti tempatan di Samarkand. Oleh kerana fasih berbahasa Inggeris, dia dilantik oleh penganjur sebagai pemandu pelancong untuk membawa kami meneroka Kompleks Shakhi-Zinda dan lokasi seterusnya iaitu Registan Square.
SUASANA PETANG DI REGISTAN SQUARE
Usai makan tengah hari dan solat di sebuah restoran terkemuka di Samarkand, rombongan kami dibawa ke Registan Square yang terletak di tengah-tengah bandar Samarkand, hanya kira-kira lima kilometer dari Shakhi-Zinda.
Lokasi ikonik di Samarkand ini juga merupakan sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Sebaik tiba, mata penulis disambut pemandangan sebuah dataran yang luas terbentang dan diapit tiga bangunan tersergam indah yang masing-masing terletak di hadapan, kiri dan kanan dataran itu.
Walaupun seni bina ketiga-tiga bangunan itu mempunyai persamaan dengan bangunan makam di Kompleks Shakhi-Zinda, khususnya penggunaan jubin berwarna biru, ukiran bercorak geometri dan tulisan khat, suasana di Registan Square terasa lebih tenang serta mendamaikan.
Reka bentuk dan seni bina ketiga-tiga bangunan yang saling menghadap itu juga lebih klasik, memperlihatkan kehalusan seni bina Islam zaman dahulu yang masih terpelihara hingga kini.
Menurut Jamal, perkataan “registan” berasal daripada bahasa Parsi bermaksud tempat berpasir, dan dataran tersebut suatu ketika dahulu adalah pusat tumpuan aktiviti masyarakat seperti perdagangan, perhimpunan awam, pengumuman pemerintah dan pusat pendidikan.
“Tiga bangunan utama yang mengelilingi dataran ini ialah Madrasah Ulugh Beg yang dibina antara 1417 hingga 1420, Madrasah Sher-Dor (1619–1636) dan Madrasah Tilya-Kori (1646–1660),” katanya.
Oleh kerana cuaca panas terik meskipun jarum jam telah menghampiri 6 petang, penulis mengambil kesempatan membeli ais krim yang dijual di gerai berhampiran sebelum menikmati kedinginan manisan itu di atas anak tangga yang menghadap dataran itu sementara menunggu ahli rombongan yang lain.
Seperti kebanyakan penduduk tempatan yang ada di situ, penulis menikmati ais krim dalam suasana yang cukup mendamaikan, dikepung tiga madrasah yang berdiri megah dengan berlatarbelakangkan langit biru tanpa awan. Sesekali, kelihatan burung-burung berterbangan di udara, menambahkan lagi keindahan suasana petang itu.
Bagi penulis, detik sederhana itu cukup istimewa kerana di sebalik kemegahan seni bina dan nilai sejarah Registan Square, terserlah juga sisi kehidupan masyarakat tempatan yang menjadikan dataran tersebut lokasi untuk beriadah bersama-sama dengan keluarga sambil menunggu matahari terbenam.
PENGALAMAN INDAH DARI SAMARKAND
Setelah makan malam dan mengucapkan selamat tinggal kepada Jamal, kami dibawa ke Samarkand Railway Station untuk kembali ke Tashkent.
Dalam perjalanan pulang, penulis duduk bersebelahan dengan seorang pengamal media dari Pakistan, Muhammad Asif Noor yang berkongsi pandangannya tentang lawatan hari itu.
Baginya, Samarkand adalah sebuah kota yang penuh keajaiban, kaya dengan ilmu pengetahuan dan sarat dengan sejarah kegemilangan tamadun Islam.
“Sejak dahulu lagi Samarkand menjadi tumpuan penuntut ilmu, khususnya dalam kalangan umat Islam dari pelbagai wilayah,” katanya.
Bagi penulis pula, sehari di Samarkand terasa terlalu singkat untuk meneroka keistimewaan kota bersejarah itu. Malah, apabila meneliti semula gambar-gambar yang diambil, barulah penulis sedar bilangan gambar yang dirakamkan jauh lebih sedikit berbanding rancangan asal. Ternyata, keindahan suasana Samarkand begitu mempesona sehingga melekakan penulis untuk mengambil lebih banyak gambar.
Jauh di sudut hati, penulis menyimpan impian untuk kembali ke Samarkand suatu hari nanti; bukan atas urusan tugas tetapi melancong bersama-sama dengan suami dan anak, agar mereka juga berpeluang menyaksikan sendiri keindahan kota bersejarah ini.