KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak terus mencatatkan penurunan pagi ini manakala Terengganu merekodkan sedikit peningkatan.
Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS menurun kepada 819 orang daripada 228 keluarga hari ini, berbanding 1,158 orang daripada 324 keluarga semalam.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak enam PPS masih beroperasi di negeri itu, dengan lima daripadanya di daerah Kuala Selangor dan satu di Kuala Langat.
Lima PPS di Kuala Selangor ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela yang menempatkan 348 mangsa, Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan (157), SK Parit Mahang (144), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (108) dan Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (46).
Sementara itu, PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu di Kuala Langat menempatkan 16 mangsa.
Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di tiga PPS di tiga daerah di negeri itu menurun kepada 211 orang daripada 63 keluarga pagi ini, berbanding 255 orang daripada 73 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Kerian pulih sepenuhnya daripada bencana banjir apabila PPS SK Bukit Merah yang turut menempatkan mangsa tanah runtuh ditutup pada 9 malam tadi.
Di Manjung, PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai menempatkan 127 mangsa daripada 37 keluarga manakala PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak menempatkan 74 mangsa daripada 22 keluarga.
Jumlah mangsa banjir di Larut, Matang dan Selama pula kekal 10 orang daripada empat keluarga dan berlindung di PPS SK Batu Hampar.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian berada pada tahap bahaya dengan bacaan 9.18 meter berbanding paras normal 8.68 meter.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan hujan pada sebelah petang di semua daerah di Perak.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus meningkat kepada 151 orang daripada 42 keluarga setakat 9 pagi ini, berbanding 135 orang daripada 43 keluarga petang semalam.
Portal Public InfoBanjir melaporkan paras air di stesen Kampung Bukit (F1), Setiu berada pada tahap waspada selepas melepasi paras 10.5 meter susulan hujan lebat malam tadi.
-- BERNAMA