Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin
KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Kerja naik taraf kesemua 12 kemudahan sukan di Sarawak bagi menghadapi Sukan SEA 2027 berjalan lancar mengikut jadual dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang Jun tahun depan bagi memberi laluan kepada fasa simulasi.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tempoh antara Jun hingga September dimanfaatkan untuk menjalankan percubaan supaya semua kemudahan bebas daripada sebarang masalah teknikal dan infrastruktur sebelum atlet serta delegasi tiba.
“Kerja-kerja peningkatan kemudahan berkenaan berjalan lancar dan mengikut jadual, termasuk Stadium Sarawak yang bakal menjadi lokasi upacara pembukaan rasmi temasya pada September 2027 akan siap Januari depan.
“Dari Jun hingga September, kita nak buat percubaan, jadi kita akan adakan acara sukan berskala kecil dan perlawanan persahabatan supaya tempat-tempat itu tidak ada masalah gangguan elektrik, air dan sebagainya. Kita mahu semuanya berjalan dengan baik, termasuk persiapan media penyiaran,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak memaklumkan Sarawak akan menjadi tuan rumah 18 daripada 43 sukan yang dianjurkan di bahagian Kuching dan Samarahan.
Beliau berkata sistem pengangkutan awam moden, Autonomous Rapid Transit (ART) bagi laluan Kuching-Samarahan yang dijadualkan siap Januari depan dijangka memainkan peranan penting dalam melancarkan pergerakan sepanjang temasya itu.
Mengulas upacara pembukaan di Stadium Sarawak yang mampu menampung 45,000 penonton, beliau berkata pihaknya merancang menampilkan kelainan tersendiri serta elemen kejutan yang mampu memukau pengunjung dengan penganjuran sulung di Bumi Kenyalang itu.
“Bagi sayalah, kita mahu menampilkan elemen kejutan di sini, tapi saya percaya mereka yang berkunjung pada hari perasmian tu akan rasa terpegun dan puas hati bahawa Malaysia, Sarawak mampu untuk menyediakan perasmian tersebut," katanya lagi, susunan koreografi sudah mula diatur setahun sebelum upacara perasmian.
Beliau berkata persembahan pembukaan itu turut melibatkan Majlis Seni Sarawak dan perbarisan oleh Angkatan Tentera Malaysia, selain jawatankuasa yang dilantik sedang memperhalusi cadangan pertunjukan bunga api serta dron.
Kurang setahun menuju Sukan SEA, Abdul Karim berkata pihaknya turut berharap syarikat penerbangan Sarawak, AirBorneo, dapat berperanan membantu membawa kontinjen atlet ke bandar raya ini sepanjang penganjuran temasya tersebut.
-- BERNAMA