ISKANDAR PUTERI, 24 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor perlu diberikan taklimat berkala mengenai perkembangan rundingan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura, termasuk kedudukan Tubir Selatan, susulan keputusan mengenai kedaulatan Batu Puteh.
Datuk Abdul Halim Suleiman (BN-Tiram) berkata perkara itu penting kerana ia menyentuh sejarah, kedaulatan wilayah, kepentingan maritim dan maruah negeri Johor.
Beliau berkata kerajaan negeri perlu terus memainkan peranan aktif dalam perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai kepentingan wilayah dan sempadan maritim Johor, meskipun hal ehwal luar negeri terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.
“Apakah bentuk penglibatan semasa kerajaan negeri dalam perbincangan dengan Persekutuan? Adakah penerangan menyeluruh kepada rakyat Johor akan diberikan mengenai kedudukan dan perkembangan terkini?
“Kita mesti berpandukan undang-undang antarabangsa dan diplomasi yang sah, tanpa membuat janji yang melangkaui kedudukan perundangan semasa. Tetapi kepentingan sah negeri dan negara mesti terus dipertahankan tanpa mengira perbezaan pendapat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Abdul Halim turut mencadangkan usaha mendokumentasikan peta, rekod sejarah dan pentadbiran Johor bagi memperkukuh usaha mempertahankan kepentingan wilayah dan sempadan maritimnya.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh manakala Batuan Tengah, yang terletak kira-kira lebih satu kilometer dari pulau itu, adalah milik Malaysia.
Pemilikan Tubir Selatan pula, yang terletak kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan diputuskan berdasarkan sempadan maritim negara yang menguasainya.
-- BERNAMA