ISKANDAR PUTERI, 23 Nov (Bernama) -- Gabungan nilai pengeluaran industri akuakultur ikan makan dan ikan hiasan di Johor, mencapai kira-kira RM1.01 bilion pada tahun 2025, sekali gus membuktikan potensi besar industri itu dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi agromakanan negeri, serta meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti nelayan dan pengusaha akuakultur.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Md Israk Abdullah berkata statistik Jabatan Perikanan Negeri Johor pada tahun 2025, merekodkan pengeluaran akuakultur ikan makan sebanyak 28,974.92 tan metrik bernilai RM796.52 juta menerusi 598 projek aktif di seluruh negeri.
“Daripada jumlah pengeluaran ikan makan tersebut, akuakultur air payau menyumbang sebanyak 22,948.10 tan metrik, manakala akuakultur air tawar mencatatkan 6,026.82 tan metrik,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Yusla Ismail (BN-Senggarang) mengenai cadangan pakej bantuan dan insentif dalam Belanjawan Johor 2027, bagi pengusaha ternakan kupang, kerang dan akuakultur, serta soalan Datuk Ashari Md Sarip (BN-Maharani) berhubung usaha dan perancangan meningkatkan ekonomi nelayan menerusi pembangunan dan pemerkasaan sektor akuakultur.
Md Israk berkata bagi komoditi utama pada 2025, udang marin mencatat 12,725.72 tan metrik atau 25.27 peratus daripada jumlah pengeluaran negara, menerusi 157 ladang ternakan seluas 2,096.09 hektar dan lima pusat penetasan benih.
Beliau berkata bagi pengeluaran kupang pula, ia merekodkan 3,205.50 tan metrik iaitu 45.97 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negara melibatkan 159 ladang ternakan seluas 1,035.63 hektar, manakala ikan hiasan mencatat 82.35 juta ekor bernilai RM217.10 juta membabitkan 65 ladang ternakan seluas 200.87 hektar pada tahun sama.
“Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan nisbah pengeluaran perikanan kepada 60:40 antara perikanan tangkapan dan akuakultur, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber perikanan tangkapan bagi menjamin keterjaminan bekalan makanan negeri.
“Bagi memperkukuh pembangunan industri kerang-kerangan negeri, sebanyak RM1.96 juta diperuntuk bagi tempoh 2022 hingga 2026 dan komitmen itu diteruskan pada tahun 2027 apabila RM300,000 diperuntukkan bagi projek estet kerang-kerangan, merangkumi bantuan peralatan sokongan, input akuakultur serta pembekalan benih kerang kepada pengusaha yang terlibat,” katanya.
Md Israk berkata selain itu, bagi pelaksanaan program pembangunan akuakultur, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM550,000 bagi tahun 2027, bertujuan membantu pengusaha mengurangkan kos operasi, meningkatkan kecekapan pengurusan ternakan, serta menyokong sasaran peningkatan hasil pengeluaran sebanyak tiga peratus setahun.
-- BERNAMA