Dunia 20/11/2026 09:12 PM

Malaysia Catat Kemajuan Pesat Dalam Hak Kanak-Kanak, Lebih Banyak Bandar Sertai CFCI

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Catat Kemajuan Pesat Dalam Hak Kanak-Kanak, Lebih Banyak Bandar Sertai CFCI
KUALA LUMPUR, 20 Nov -- Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia Robert Gass bergambar pada sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 bertemakan "Festival of Rights" di KLGCC Mall hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia mencatatkan "kemajuan pesat" dalam memperjuangkan hak kanak-kanak dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan dan penjagaan kesihatan, kata Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia Robert Gass.

Beliau berkata negara ini memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer asas, imunisasi dan pendidikan mudah diakses oleh kanak-kanak, selain mencatatkan kemajuan penting dalam sistem keadilan menerusi pengukuhan undang-undang bagi melindungi mereka daripada penderaan seksual dan eksploitasi seksual dalam talian.

"Dalam bidang pendidikan, pada asasnya mana-mana kanak-kanak yang mahu bersekolah boleh berbuat demikian kerana sekolah tidak terlalu jauh dan kosnya tidak terlalu tinggi.

"Mana-mana kanak-kanak yang memerlukan imunisasi dan penjagaan kesihatan primer asas boleh pergi ke klinik atau hospital, iaitu kemudahan infrastruktur yang tidak dimiliki semua negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Hak sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2026 di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Gass berkata tiga bidang utama yang memerlukan penambahbaikan dibangkitkan semasa penilaian Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) awal tahun ini, termasuk memastikan semua kanak-kanak menikmati hak mereka secara saksama.

"Masih terdapat sebilangan besar kanak-kanak yang tercicir. Kedua, terdapat gesaan supaya pelaburan dalam isu berkaitan kanak-kanak ditingkatkan kerana ia akan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia pada masa hadapan.

"Ketiga, mereka mahu melihat akauntabiliti yang lebih tinggi supaya rancangan, dasar dan kenyataan disusuli dengan tindakan konkrit," tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Gass berkata lebih banyak pihak berkuasa tempatan menyertai Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) UNICEF susulan pencapaian Petaling Jaya sebagai bandar pertama di Asia Tenggara menerima anugerah khas dan akreditasi berkenaan.

Petaling Jaya merupakan bandar pertama di Malaysia yang menerima pakai CFCI dan menjadi bandar pertama negara ini memperoleh status Bandar Calon pada 2022.

"Kami mempunyai tujuh bandar calon di Sarawak, Pulau Pinang bakal menjadi bandar calon dan DBKL (Kuala Lumpur) juga akan menjadi bandar calon," katanya.

Beliau berkata banyak bandar lain di seluruh Malaysia berminat untuk menjadi bandar mesra kanak-kanak kerana menyedari bahawa bandar sedemikian sesuai untuk semua golongan, termasuk warga emas.

Gass berkata dalam pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh pada Ogos lepas, UNICEF memohon sokongan beliau untuk memperluas inisiatif itu ke Wilayah Persekutuan lain seperti Putrajaya.

Menurut laman sesawang CFCI, inisiatif itu menggalakkan pelaksanaan hak kanak-kanak di peringkat tempatan menerusi rangkaian unik yang merangkumi kerajaan tempatan, pertubuhan masyarakat sivil, sektor swasta, ahli akademik, media dan kanak-kanak sendiri di lebih 40 negara.

Sementara itu, Festival Hak, acara dua hari anjuran UNICEF Malaysia bermula 20 Nov di KLGCC Mall, meraikan hak kanak-kanak dan golongan muda serta menyediakan ruang untuk mereka berkongsi pengalaman, idea dan aspirasi mengenai isu yang membentuk masa depan mereka, termasuk keselamatan digital, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim.

Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut setiap tahun pada 20 Nov bagi memperingati penerimaan Deklarasi Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1959 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak pada 1989, yang disertai Malaysia pada 1995.

Tema sambutan tahun ini ialah "Hari Saya. Hak Saya. Masa Depan Saya.”

-- BERNAMA