LANGKAWI, 20 Nov (Bernama) -- Pasukan Blitz semakin hampir untuk merangkul gelaran juara Regata Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) 2026 selepas sekali lagi mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Kelas 1.
Diketuai nakhoda Nick Burns, Blitz meneruskan rentak kemenangan apabila mencatat masa lapan jam empat minit tiga saat dalam perlumbaan kelima dari Pulau Pinang ke Langkawi, sekali gus menamatkan perlumbaan dengan kelebihan satu minit 47 saat di hadapan juara bertahan The Next Factor manakala Windseeker menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 8:34:46.
Blitz terus mengukuhkan kedudukan apabila memenangi perlumbaan di perairan mengelilingi Pulau Langkawi dengan catatan masa 2:10:16, diikuti The Next Factor (2:12:54) dan Windseeker (2:14:00).
Keputusan itu menyaksikan Blitz terus mengungguli kedudukan keseluruhan Kelas 1 dengan empat mata, diikuti The Next Factor dengan lapan mata dan Windseeker di tempat ketiga dengan 14 mata.
Burns berpuas hati dengan prestasi pasukannya, namun kekal berhati-hati mengenai peluang mereka untuk merangkul gelaran juara memandangkan dua lagi perlumbaan di perairan dijadualkan berlangsung esok.
“Sudah tentu kami berasa gembira. Kami hanya perlu berdoa agar semuanya berjalan lancar esok. Pasukan ini sangat baik dan kami melakukan permulaan yang bagus serta kerjasama kru yang mantap,” katanya kepada Bernama hari ini.
Burns ketika mengulas hari terakhir kejohanan berkata keadaan angin yang dijangka berlaku berpotensi memberikan kelebihan kepada Blitz, khususnya berdasarkan berat dan ciri-ciri kapal berkenaan.
“Saya rasa keadaan angin esok akan sama seperti hari ini dan keadaan itu amat sesuai untuk kapal kami. Jadi, kelajuan angin antara 12 hingga 14 knot memang sangat sesuai. Kapal itu agak berat, iaitu tujuh tan dan memerlukan angin,” katanya.
Walaupun berada pada kedudukan yang selesa, Burns mengakui sebarang kejadian tidak dijangka masih boleh menjejaskan peluang pasukan itu untuk merangkul gelaran juara keseluruhan.
Sementara itu, Shahtoosh terus menguasai saingan Kelas 2 apabila mendahului kedudukan dengan empat mata selepas empat perlumbaan.
Insanity turut mengekalkan rekod sempurna dalam saingan Kelas 3 dengan mengumpul empat mata selepas memenangi kesemua perlumbaan.
Dalam Kelas 4, Beaux Esprits mendahului kedudukan keseluruhan dengan 10 mata manakala Skubird mengungguli Kelas 5 dengan lima mata.
Regata itu akan diteruskan esok dengan dua lagi perlumbaan di perairan mengelilingi Pulau Langkawi yang bakal menentukan juara keseluruhan.
RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 adalah regata kedua tertua di Asia dan cetusan idea Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda bergelar Raja Muda Selangor.
-- BERNAMA