ISKANDAR PUTERI, 20 Nov (Bernama) -- Kontraktor tempatan di Johor merekodkan 2,631 projek pembinaan bernilai RM40.65 bilion sepanjang 2025, berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melalui Johor Centre for Construction Development (JCCD).
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata sebanyak 1,755 projek pembinaan bernilai RM23.87 bilion pula direkodkan melibatkan kontraktor tempatan sehingga 31 Okt 2026, merangkumi aktiviti ekonomi serta pembangunan awam dan swasta.
"Walaupun data CIDB tidak mengasingkan nilai kontrak yang berkaitan secara langsung dengan pelaburan yang diluluskan, perkembangan aktiviti pembinaan yang semakin rancak memberikan petunjuk positif bahawa momentum pelaburan dan pertumbuhan ekonomi Johor turut menjana permintaan terhadap kerja-kerja pembinaan serta membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor dan pemain industri tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) mengenai jumlah peluang dan nilai hasil kerja yang diterima syarikat tempatan daripada pelaburan RM110 bilion pada 2025, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.
Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Johor mencatatkan RM110 bilion pelaburan diluluskan pada 2025, tertinggi dalam sejarah negeri itu, kata Lee.
Beliau berkata ekonomi Johor turut berkembang 8.0 peratus, tertinggi di Malaysia bagi tahun kedua berturut-turut, dipacu lonjakan sektor pembinaan 26.7 peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kerajaan negeri, katanya sedang melaksanakan Kajian Pembangunan Model Penyertaan Pemain Industri Tempatan dalam Rantaian Bekalan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bersama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kementerian Ekonomi.
Beliau berkata laporan interim kajian itu mengenal pasti 5,245 syarikat tempatan berpotensi melalui pemetaan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, termasuk 2,342 syarikat di Johor.
"Sebanyak 72 peratus responden syarikat multinasional (MNC) bersedia menggunakan pembekal tempatan bagi Tier 1 dan 68 peratus bagi Tier 2 serta Tier 3," katanya.
Bagaimanapun, Lee berkata syarikat tempatan masih berdepan cabaran dari segi akses kepada maklumat tender, pensijilan, teknologi, pembiayaan, kapasiti pengeluaran dan tenaga kerja mahir.
Sehubungan itu, JCCD menganjurkan Konvensyen Kontraktor 3.0 dan International Facility Management Engagement Day melibatkan 300 daripada kontraktor gred G1 hingga G7, selain kerajaan negeri meneliti pemanfaatan New Incentive Framework (NIF) yang diperkenalkan pada 1 Mac 2026.
Antara cadangan strategik yang sedang diteliti berdasarkan dapatan awal kajian termasuk pembangunan pangkalan data dan platform pemadanan vendor, pengukuhan kapasiti vendor, perluasan akses perolehan MNC, penelitian dasar kandungan tempatan dan insentif berperingkat serta pemantauan impak pelaburan.
"Bagaimanapun, perlu saya jelaskan bahawa kajian ini masih di peringkat interim. Nilai keseluruhan kontrak dan pendapatan sebenar yang diperoleh syarikat tempatan secara khusus daripada pelaburan RM110 bilion pada tahun 2025 belum dapat ditentukan secara menyeluruh," katanya.
-- BERNAMA