ISKANDAR PUTERI, 20 Nov (Bernama) -- Penggunaan air terawat bagi 19 pusat data yang sedang beroperasi di Johor berada pada sekitar 21.277 juta liter sehari (JLH) bersamaan 1.05 peratus daripada keseluruhan pengeluaran air terawat negeri dan 3.35 peratus daripada penggunaan sektor industri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kesemua pusat data itu pada awalnya memohon bekalan air sebanyak 73.088 JLH sebelum diluluskan pada kadar tersebut.
Sebagai perbandingan, purata pengeluaran air terawat di Johor ialah 2,034 JLH yang merangkumi penggunaan domestik (904 JLH) dan industri (635 JLH).
Mohamad Fazli berkata sembilan daripada 19 pusat data yang beroperasi menggunakan sistem penyejukan cekap yang mampu beroperasi sehingga sifar penggunaan air, antaranya teknologi Air-Cooled Chiller, Direct-to-Chip Liquid Cooling, Cold Plate Liquid Cooling, T-Class Air-Cooled Chiller dan Immersion Cooling.
Selain itu, beliau berkata 11 premis menggunakan air di bawah 1 JLH manakala selebihnya menggunakan antara 1 hingga 4.172 JLH.
"Walaupun jumlah tersebut merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan pengeluaran air terawat negeri, kerajaan negeri tetap memberi perhatian terhadap pertumbuhan permintaan industri pusat data supaya tidak menjejaskan keperluan pengguna domestik pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini bagi menjawab soalan mengenai syarat, mekanisme kawal selia dan jaminan bekalan air serta elektrik yang dibangkitkan oleh Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas), Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) dan R. Kumaran (BN-Bukit Batu).
Mohamad Fazli berkata, Johor merupakan negeri pertama menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) pada 29 April 2024 dengan mesyuarat pertama dilaporkan pada 20 Jun 2024.
Melalui JPPPDNJ yang dipengerusikannya, keperluan bekalan air dan elektrik dinilai secara bersepadu bersama Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Ranhill SAJ (RSAJ), Johor Special Water (JSW) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau berkata operator berintensiti air tinggi juga diminta menggunakan sumber air alternatif menerusi JSW, termasuk air kumbahan terawat dari Loji Rawatan Kumbahan (STP) mengikut keperluan industri.
Berhubung penyusutan paras air di enam empangan akibat kemarau panjang dan El-Nino yang dijangka memberi kesan maksimum sehingga Mac 2027, beliau menjelaskan 19 pusat data beroperasi menerima bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Semangar dan LRA Sungai Johor yang bersumberkan air mentah Sungai Johor.
Enam empangan yang dipantau ialah Empangan Machap, Empangan Lebam, Empangan Gunung Pulai 2, Empangan Pontian Kechil, Empangan Upper Layang dan Empangan Lower Layang, dengan Empangan Machap dan Lebam tidak membekalkan air kepada pusat data yang beroperasi.
"Oleh itu saya mohon pihak yang tidak bertanggungjawab agar menghentikan propaganda menakutkan rakyat dengan berita palsu yang direka-reka," katanya.
Mohamad Fazli berkata, pembangunan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan terus dilaksanakan secara terancang dan bersepadu agar pelaburan bernilai tinggi berjalan seiring dengan keupayaan infrastruktur serta kesejahteraan Bangsa Johor.
-- BERNAMA