ISKANDAR PUTERI, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan RM4.86 bilion menerusi Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi 2027.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan itu membantu menjayakan aspirasi pembangunan Johor dengan lebih besar.
Beliau berkata peruntukan berkenaan secara keseluruhan melibatkan sebanyak 94 projek baharu dan 515 projek sambungan di negeri ini.
Projek itu katanya, meliputi naik taraf Laluan FT003 Jalan Kota Tinggi-Mersing dari Seksyen 35.5 hingga Seksyen 42 di Kota Tinggi, projek kawalan hakisan pantai di Mukim Rimba Terjun di Pontian dan projek yang sama di Pantai Seri Menanti, Muar.
"Turut dilaksanakan adalah kerja-kerja awal Program Residensi Rakyat (PRR) Batu Pahat dan kerja-kerja awal reka bentuk pembinaan jalan pintas dari Bakri (FT024) ke Bukit Pasir (J32) di Muar," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.
Menurutnya turut dilaksanakan adalah prapelaksanaan projek pemuliharaan muara Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi dan muara Sungai Sekakap di Mersing.
Selain itu, beliau berkata projek lain melibatkan kerja-kerja awal pembinaan median, pusingan U dan kerja-kerja berkaitan di Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang (FT050) dari Ayer Hitam ke Kluang seterusnya Batu Pahat sehingga persimpangan Stadium Kluang.
"Turut dilaksanakan adalah naik taraf Jalan Yong Peng (FT24) dari Persimpangan Tol Yong Peng Utara ke Persimpangan Parit Yaani (J125)," katanya.
Onn Hafiz berkata projek di Johor Bahru dan Iskandar Puteri pula merangkumi kerja-kerja menaik taraf 21 unit lif di Hospital Sultan Ismail, kerja-kerja awal pembinaan Jambatan Kedua Permas Jaya dan persimpangan bertingkat di Lebuhraya EDL.
Selain itu, katanya turut dilaksanakan pembinaan persimpangan bertingkat baharu di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura di kilometer 18 dan penambahbaikan rangkaian jalan Gelang Patah (J4) ke arah Stadium Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Onn Hafiz membentangkan Belanjawan Johor 2027 dengan peruntukan berjumlah RM3.06 bilion dan unjuran lebihan sebanyak RM2.33 juta.
--BERNAMA