KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Generasi muda perlu memahami dan menghadam asas Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, hak keistimewaan Bumiputera dan institusi raja-raja sebagai paksi bagi mengekalkan perpaduan serta keutuhan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prinsip itu adalah tetap (thabit) dan tidak boleh dirungkai, serta menyeru anak muda menolak naratif perkauman sempit yang boleh merosakkan negara.
"Ini dalam istilah agama kita kata thabit, tetap, tidak boleh dirungkai, kerana ada orang kadang-kadang simpang siur, bicara hal politik picisan... kalau orang ini naik (memegang tampuk kepimpinan) dia akan ubah. Tak mungkin berubah...ini kebijaksanaan pendiri negara kita.
"Orang seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebelumnya, yang telah melakar kemudian memeterai satu perjanjian kontrak sosial yang dikenali sebagai Perlembagaan kita. Jadi kita harus bermula dari situ," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515 di sini, hari ini.
Program itu merupakan kali pertama Perdana Menteri turun padang berinteraksi secara langsung bersama dengan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak diperkenalkan semula.
Dalam pada itu, Anwar berkata pembinaan negara bangsa yang kukuh menuntut sikap saling menghormati dan menghargai kepelbagaian agama dan kaum.
“Ada beragama Islam, ada bukan Islam, Kristian, Buddha, Hindu, belajarlah untuk saling menghormati. Negara ini mesti terus kekal sebagai sebuah negara yang hebat sekiranya kita belajar untuk saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Ini tanggungjawab saudara-saudara (anak muda),” katanya.
Anwar berkata negara tidak akan selamat sekiranya masyarakat bersikap permisif dan menganggap rasuah sebagai satu budaya yang boleh diterima.
Beliau berkata PLKN diperkasakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyuntik semangat idealisme, disiplin dan integriti dalam kalangan generasi muda untuk mengangkat martabat negara ke tahap lebih maju.
Perdana Menteri pada masa sama berkata sejarah membuktikan banyak negara yang pada awalnya merdeka dan maju akhirnya merosot serta hancur akibat keangkuhan pimpinan dan amalan rasuah yang dinormalisasikan.
"Rasuah ini budaya orang boleh terima, tak apalah? Dah jadi Perdana Menteri takkan tak rasuah, bodohlah? Ada orang cakap, dah jadi Perdana Menteri takkan tak kaut kekayaan kerana itu budayanya. Jahanam negara.
“Ini kursus-kursus seperti PLKN ini untuk bagi suntikan semangat dan keyakinan bahawa negara itu harus diselamatkan dengan prinsip, dengan idealisme. Mana ada negara yang selamat dengan toleransi, sikap terlalu berkompromi terhadap sistem yang bobrok ini?” katanya.
-- BERNAMA