Am 14/11/2026 05:31 PM

Agape Centre Sibu Abadikan Nama Juma’ani Pada Bangunan Baharu

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agape Centre Sibu Abadikan Nama Juma’ani Pada Bangunan Baharu
fb TVS

SIBU, 14 Nov (Bernama) -- Allahyarham Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang yang sanggup mengunjungi kedai demi kedai bagi mengutip sumbangan untuk kerja-kerja kebajikan dan memainkan peranan penting dalam penubuhan sebuah pusat autisme di Kuching, kini diberikan penghormatan di bandar tempat beliau dibesarkan.

Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan Allahyarham, Agape Centre Sibu menamakan bangunan baharunya sebagai Wisma Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.

Berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 pusat autisme itu hari ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penghormatan berkenaan amat bermakna buat keluarganya kerana mengiktiraf segala jasa Allahyarham isterinya selama ini kepada masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Penubuhan pusat autisme di Kuching adalah hasil cetusan idea dan usaha Allahyarham,” katanya sambil menambah Juma’ani mahu memastikan kanak-kanak berkenaan mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya sepanjang proses tumbesaran mereka sehingga mencapai usia dewasa.

Beliau berkata apabila anak-anak mereka semakin mampu berdikari, Allahyarham mula meluangkan lebih masa untuk aktiviti kemasyarakatan dan mengambil berat terhadap anak-anak yang dibantunya seperti anak sendiri.

Abang Johari turut mengenang usaha Juma’ani yang sanggup bertemu pemilik kedai dan syarikat bagi mendapatkan sumbangan bagi menjayakan aktiviti kebajikan Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak (SABATI) pada peringkat awal beliau sebagai menteri.

“Juma’ani terus aktif melaksanakan kerja-kerja kebajikan sepanjang hayatnya, termasuk menghulurkan bantuan kepada sebuah rumah anak yatim di Kuching,” katanya.

Abang Johari berkata penghormatan berkenaan juga cukup bermakna memandangkan Allahyarham pernah menetap dan membesar di Sibu pada awal kehidupannya manakala Agape Centre kini menghimpunkan lima pertubuhan di bawah satu bumbung, iaitu Persatuan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas Sibu, Methodist Care Centre, Persatuan Autisme Sibu, Special Olympics Sarawak (Cawangan Sibu) serta Klinik Kanak-Kanak Memorial Lau King Howe.

Beliau berkata pusat itu membuktikan pertubuhan yang mempunyai kepakaran berbeza mampu berganding bahu dalam memberikan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, sekali gus membantu mereka melibatkan diri secara aktif dalam kehidupan bermasyarakat.

-- BERNAMA