KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkukuh pelaksanaan konsep “Sponge City” melalui peluasan infrastruktur hijau bagi mengurangkan risiko banjir kilat dan suhu persekitaran di ibu negara.
DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah melalui pendekatan nature-based solutions itu dilaksanakan dengan penanaman 22,940 pokok teduhan bagi tempoh 2023 hingga 2026, termasuk 8,917 batang pokok pada tahun ini.
Menurut kenyataan itu, penanaman dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan litupan hijau dan mengekalkan keseimbangan ekosistem bandar.
“Dalam usaha menambah 50 peratus litupan kanopi, DBKL turut mengkaji potensi tanah-tanah kerajaan yang belum dibangunkan bagi menyokong inisiatif penanaman satu juta pokok di Kuala Lumpur menjelang 2040,” menurut kenyataan itu.
DBKL memaklumkan pelaksanaan “Sponge City” memberikan tumpuan kepada peningkatan keupayaan kawasan bandar untuk menyerap, menakung dan memperlahankan aliran air hujan secara semula jadi sebelum dilepaskan secara berperingkat.
Antara pendekatan yang dilaksanakan termasuklah pembangunan rain garden, bioswale, penggunaan permukaan telap air (permeable surface) serta penyediaan kawasan hijau yang berfungsi sebagai komponen pengurusan air hujan.
“Penggunaan permukaan telap air, khususnya di laluan pejalan kaki, ruang akses dan kawasan aktiviti sokongan dapat membantu meningkatkan resapan air hujan ke dalam tanah, mengurangkan air larian permukaan serta tekanan terhadap sistem perparitan, terutamanya ketika hujan lebat,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, DBKL turut melaksanakan pembangunan “Microforest”, “Pocket Park”, “Green Connector” dan penghijauan koridor sungai di lokasi yang bersesuaian.
Setakat ini, tiga projek Microforest telah dilaksanakan melibatkan Taman Poket FGV, Lot 20002 Jalan Sultan Ismail serta Lot 316 dan Lot 2002 Lorong Tuanku Abdul Rahman, dengan penanaman 600 batang pokok hutan daripada 40 spesies pokok tempatan.
“Selain itu, DBKL turut merancang untuk membangunkan 32 kawasan lapang warta menggunakan konsep Microforest menjelang 2027, manakala sebanyak 183 kawasan lapang dan tapak taman poket yang belum dibangunkan berpotensi dijadikan tapak Microforest yang turut diintegrasikan dengan kemudahan rekreasi menjelang 2040.
“Pembangunan itu melalui penanaman pokok secara padat dan berlapis berupaya meningkatkan litupan kanopi, mengurangkan suhu persekitaran setempat melalui teduhan dan proses evapotranspirasi, di samping meningkatkan biodiversiti serta keupayaan resapan air hujan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam aspek pengurusan dan keselamatan pokok, DBKL mempunyai 21 arboris bertauliah menerusi panel kontraktor yang dilantik bagi menjalankan penilaian teknikal terhadap tahap kesihatan, kestabilan dan risiko pokok termasuk yang melibatkan cadangan penebangan.
DBKL akan terus mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan peluasan infrastruktur hijau, khususnya di kawasan pembangunan padat dan lokasi berisiko banjir kilat selain memberikan tumpuan kepada penggunaan kawasan lapang, tanah kerajaan yang belum dibangunkan dan persimpangan jalan sebagai lokasi berpotensi untuk pembangunan Microforest.
“Pendekatan Sponge City merupakan langkah pelengkap kepada pelaksanaan projek tebatan banjir dan kerja menaik taraf sistem perparitan sedia ada.
“Penyelarasan antara infrastruktur hijau dengan infrastruktur saliran konvensional penting bagi memperkukuh keupayaan bandar mengurus peningkatan jumlah air hujan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA