GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited memudah cara proses kelulusan pembinaan sekolah, khususnya sekolah bantuan kerajaan, bagi memastikan projek pembangunan institusi pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata KPM akan membantu menyelesaikan isu berkaitan dokumentasi dan prosedur pentadbiran sebaik sahaja perkara berhubung tapak serta keperluan enrolmen sekolah diselesaikan.
"Di bawah Kerajaan MADANI, dalam tempoh empat tahun lepas, kita telah melaksanakan usaha memudah cara segala proses.
"Sekiranya tapak baharu itu mempunyai permintaan dari segi enrolmen dan isu berkaitan tapak telah diselesaikan, maka tidak ada isu untuk kita memberikan kelulusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di Bayan Lepas, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin serta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying.
Mengambil contoh projek SJKC Heng Ee, Wong berkata KPM telah memberikan kelulusan perpindahan lokasi sekolah itu pada Jun 2025 selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) pada Ogos 2024.
Beliau berkata langkah itu diambil berikutan keadaan sekolah asal yang semakin tidak kondusif selain jumlah enrolmen murid yang semakin berkurangan dengan hanya kira-kira 130 murid masih mengikuti pembelajaran di lokasi berkenaan.
Beliau berkata bangunan baharu SJKC Heng Ee yang mempunyai 18 bilik darjah dijangka siap pada suku pertama 2028, manakala operasinya disasarkan bermula pada September tahun sama.
Wong berkata projek yang mengambil masa kira-kira 15 bulan itu mampu menampung antara 540 hingga 630 murid, bergantung pada jumlah murid bagi setiap kelas.
"Bagaimanapun, KPM tidak mempunyai halangan sekiranya pihak sekolah ingin mengemukakan permohonan pembinaan fasa kedua dan ketiga sekiranya mendapat sambutan menggalakkan selepas mula beroperasi," katanya.
Malah, katanya, pilihan pelaksanaan sesi persekolahan dua sesi juga boleh dipertimbangkan sekiranya jumlah enrolmen meningkat melebihi 1,000 murid bagi memenuhi keperluan kawasan berkenaan.
-- BERNAMA