Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Berbekalkan wang saku yang dikumpul sesama sendiri, sekumpulan penuntut jurusan filem Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuktikan kemampuan apabila karya pendek mereka bertajuk 'Kola Loompor' dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keseluruhan (Best of the Best) pada Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia ke-14 (FFVPM14), malam tadi.
Lebih membanggakan, naskhah berkenaan turut membolot enam kategori lain iaitu Skrip Terbaik, Pengarah Harapan Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Rekaan Set Terbaik.
Kejayaan cemerlang itu melayakkan pasukan produksi berkenaan membawa pulang Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000 di bawah Dana Pemangkin Generasi MADANI, inisiatif Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Program Belia Kreatif Komuniti MADANI.
Pengarahnya, Wan Nur Azwin Wan Nazrul Aisham, 24, atau lebih dikenali sebagai Aween Aisham yang turut meraih trofi Pengarah Harapan Terbaik menyifatkan kemenangan itu sebagai luar jangkaan memandangkan sasaran awal mereka hanyalah mahu mengharumkan nama universiti selepas tercalon dalam sembilan kategori.
"Bagi menghasilkan filem ini, kami mengumpul dana sendiri. Ada yang menyumbang RM100, RM300, malah saya sendiri mengeluarkan RM1,000 dan ada rakan lain menyumbang sehingga RM1,200.
"Jumlah itu amat besar bagi kami sebagai pelajar. Justeru, geran ini merupakan satu suntikan semangat dan kami akan memanfaatkannya untuk menghasilkan karya seterusnya yang jauh lebih bermutu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini malam tadi.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengarahan Filem UiTM Kampus Puncak Perdana itu berkata pasukannya berdepan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran di sekitar ibu negara akibat kekangan peruntukan dan ketiadaan pelakon profesional, selain faktor cuaca hujan yang memaksa rombakan babak dibuat kerana penggambaran dilakukan sepenuhnya di luar studio.
Beliau berkata pihaknya memilih seorang pekerja pasar raya warga Bangladesh sebagai teraju utama bagi menjiwai watak yang diilhamkan daripada realiti sebenar kehidupan golongan berkenaan.
Karya berdurasi 18 minit itu mengangkat kisah Naeem, pekerja migran Bangladesh yang menjalin persahabatan dengan wanita gelandangan tempatan bernama Zainab, sebelum berdepan kepiluan akibat dikhianati apabila wangnya dilarikan wanita terbabit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pihaknya komited membuka ruang lebih luas kepada pembikin filem muda untuk membawa karya mereka ke peringkat lebih tinggi, khususnya di pentas ASEAN.
Pelajar yang berhasrat membina kerjaya dalam industri perfileman digalakkan menghasilkan dua hingga tiga filem pendek untuk diketengahkan di festival filem bagi membina portfolio kukuh sebelum melangkah ke arena komersial, katanya.
Sehubungan dengan itu, Azmir Saifuddin berkata FINAS giat berbincang dengan institusi pendidikan tinggi bagi mengenal pasti potensi karya pelajar, terutamanya projek tahun akhir, untuk dipromosikan ke peringkat antarabangsa.
"Universiti menghasilkan banyak projek tahun akhir yang berkualiti. Walaupun hak harta intelek (IP) dimiliki universiti, pihak pengurusan boleh berbincang dan bekerjasama dengan pelajar bagi membawa IP itu ke festival berprestij di peringkat lebih tinggi," katanya.
Beliau turut mencadangkan agar penganjuran FFVPM dijadikan acara tahunan dan diselaraskan dengan Festival Filem Malaysia (FFM) bagi memberi pendedahan meluas kepada bakat baharu tanah air.
Dianjurkan oleh Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan sokongan FINAS, FFVPM14 bermatlamat mengiktiraf karya, mencungkil bakat baharu serta memperkasa kreativiti generasi muda dalam bidang perfileman negara.
Edisi kali ini yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis lepas menerima 177 penyertaan daripada 35 institusi pendidikan yang bertanding dalam 22 kategori termasuk dua kategori khas.
-- BERNAMA