Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami aktiviti pengambilan untung minggu minggu depan dalam persekitaran paras stok yang tinggi, kata seorang peniaga.
Pada Selasa, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan bahawa jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 3.15 peratus, atau 110,610 tan, kepada 3.62 juta tan pada Oktober berbanding 3.51 juta tan pada September.
Sementara itu, inventori minyak sawit mentah (MSM) meningkat sebanyak 7.46 peratus, atau 161,379 tan, kepada 2.32 juta tan pada bulan lepas berbanding 2.16 juta tan pada September.
Pedagang Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh, berkata harga tenaga juga telah mereda selepas aktiviti spekulatif yang sebelum ini mendorong kenaikan harga, berkurangan.
“Dari segi permintaan, pembelian fizikal dijangka datang terutamanya dari China, India, Pakistan, Timur Tengah dan Kesatuan Eropah, manakala permintaan dari Amerika Syarikat adalah agak rendah,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Pedagang Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng, menjangkakan niaga hadapan MSM akan terus disokong oleh prospek pengeluaran yang bertambah baik serta pergerakan harga minyak sayuran pesaing walaupun paras inventori mencatat paras tertinggi mungkin mengehadkan kenaikan harga seterusnya.
Niaga hadapan MSM ditutup minggu ini pada paras yang lebih tinggi, disokong oleh jangkaan harga yang optimis daripada penganalisis terkemuka semasa persidangan minyak sawit yang berlangsung di Indonesia dari 11 hingga 13 November.
Sepanjang minggu tersebut, niaga hadapan MSM kebanyakannya diniagakan lebih tinggi, didorong oleh pengukuhan harga minyak kacang soya dan minyak mentah, aktiviti pembelian pada harga rendah serta sentimen pasaran yang positif susulan persidangan minyak sawit tersebut.
Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak November 2026 naik RM131 kepada RM4,180 satu tan, Disember 2026 meningkat RM179 to RM4,326 setan dan Januari 2027 melonjak RM204 kepada RM4,462 satu tan.
Kontrak Februari 2027 menokok RM209 kepada RM4,565 satu tan, Mac 2027 menambah RM221 kepada RM4,658 setan dan April 2027 melonjak RM231 kepada RM4,728 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 595,534 lot daripada 512,442 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 454,619 kontrak daripada 332,934 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi November Selatan naik RM100 kepada RM4,200 satu tan.
-- BERNAMA