Am 14/11/2026 09:39 AM

UniMAP Terus Menjadi Pilihan Syarikat Multinasional, Kadar Bekerja Graduan 99.3 Peratus

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UniMAP Terus Menjadi Pilihan Syarikat Multinasional, Kadar Bekerja Graduan 99.3 Peratus
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zaliman Sauli - Kredit: UniMAP

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus membuktikan keupayaan sebagai institusi pilihan industri global apabila mengekalkan pengiktirafan Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) Tertinggi buat tahun kedua berturut-turut, iaitu 2024 dan 2025.

Pengiktirafan menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu mencerminkan keyakinan syarikat multinasional terhadap kualiti dan kompetensi graduan universiti berkenaan.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata pencapaian itu membuktikan graduan universiti berkenaan berupaya memenuhi keperluan serta standard pekerjaan di peringkat global.

Beliau berkata lebih membanggakan, UniMAP turut mencatatkan Kadar Bekerja Graduan sebanyak 99.3 peratus pada 2025, sekali gus menerima Anugerah Kadar Bekerja Graduan Kategori Universiti Awam dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan Tahun 2025 bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut Zaliman, UniMAP sentiasa memastikan kurikulum, kaedah pengajaran dan pengalaman pembelajaran mahasiswa kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan sebenar industri, khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

“UniMAP akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak industri bagi memastikan pembangunan kurikulum, kaedah pengajaran dan pengalaman pembelajaran mahasiswa sentiasa mengambil kira perkembangan teknologi serta keperluan sebenar sektor pekerjaan.

“Hubungan erat antara universiti dan industri penting bagi memastikan graduan bukan sahaja bersedia untuk bekerja, malah berupaya menyesuaikan diri, berinovasi dan berkembang dalam persekitaran pekerjaan yang sentiasa berubah,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Zaliman berkata UniMAP kini mempunyai lebih 230 kerjasama industri dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), merangkumi bidang reka bentuk litar bersepadu (IC), pembuatan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor.

Universiti itu turut menyediakan 12 kemudahan Industry on Campus (IoC) sebagai platform perkongsian kepakaran, kemudahan dan teknologi sebenar antara universiti dengan industri.

Beliau berkata kerjasama itu turut memberi impak kepada pembangunan bakat apabila kira-kira 40 peratus tenaga kerja syarikat reka bentuk IC Oppstar dan lebih 30 peratus tenaga kerja SkyeChip adalah alumni UniMAP.

“Ini membuktikan bakat dan kepakaran yang dibangunkan universiti memenuhi keperluan sebenar industri,” katanya.

Beliau berkata syarikat multinasional memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bekerja dalam pasukan pelbagai latar belakang, selain menyesuaikan diri dengan standard dan amalan kerja antarabangsa.

Menurut Zaliman, pencapaian itu mengukuhkan komitmen UniMAP untuk terus memperluas hubungan strategik dengan industri serta menambah baik pendekatan pendidikan dan latihan bagi melahirkan graduan yang mempunyai kompetensi, profesionalisme dan keupayaan memberikan nilai tambah kepada organisasi.

“Bagi UniMAP, kejayaan sebenar bukan sekadar melahirkan graduan yang memiliki kelayakan akademik tetapi graduan yang mampu menterjemahkan ilmu dan kemahiran kepada sumbangan bermakna kepada industri dan negara.

“Kami mahu graduan UniMAP mempunyai pemikiran kritis, kompetensi teknologi, integriti dan keupayaan kepimpinan yang membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya.

-- BERNAMA